Tuesday, January 3, 2012

Calon BN Perak akan diumum lebih awal - Zambry


IPOH 3 Jan. - Barisan Nasional (BN) Perak akan mengumumkan lebih awal calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, langkah itu bagi membolehkan pengundi di sesebuah kawasan membiasakan diri dengan calon yang memenuhi kriteria disukai dan boleh menang.

"Saya telah pun mengenal pasti calon-calon dan kita kini menjalankan penilaian secara berterusan terhadap semua yang berpotensi.

"Kita belajar daripada kesalahan lalu apabila mengemukakan nama calon pada saat akhir," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan laluan alternatif Bercham ke Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan semula calon-calon BN yang tewas pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, perkara tersebut wajar dikaji semula berikutan kekalahan tipis itu disebabkan oleh kesan tsunami politik pada 2008.

"Ada sesetengah kawasan mungkin pengundinya sukar menerima seseorang ahli Parlimen atau ketua bahagian, maka calon-calon lain yang bernaung di dalam parti sama turut menerima tempiasnya," katanya.

Tambah Zambry, walaupun tewas, calon-calon tersebut tetap bekerja untuk rakyat sekali gus membuka mata pengundi di kawasan berkenaan untuk kembali menyokong BN.

"Apabila saya turun padang untuk bertemu rakyat dan peniaga, ada yang mahukan calon yang kalah tipis ini bertanding semula kerana wakil rakyat sedia ada tidak melaksanakan tugas dengan baik.

"Justeru, soal majoriti rendah atau tinggi pada pilihan raya lalu bukan penentu dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews