Thursday, January 26, 2012

Malaysia berperanan bentuk koridor pertumbuhan baharu Asia


Utusan Borneo on 26 January 2012, Khamis

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia boleh berperanan penting dalam usaha pembentukan koridor pertumbuhan baharu, yang meliputi China, melalui Asia Tenggara dan India hingga ke Timur Tengah.

Sambil menegaskan mengenai kepentingan koridor baharu itu, Perdana Menteri berkata perkongsian China-Asean-India-Timur Tengah itu akan dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan yang besar.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelancaran Majlis Perniagaan Global kena pada masanya kerana ini akan menjadi satu cara merapatkan para pemimpin perniagaan dan usahawan yang bukan sahaja dari China, India, Asean dan Timur Tengah, malah masyarakat keturunan Cina yang berselerak di seluruh dunia.

“Sekarang adalah masa kita dan ini adalah peluang kita. Jadi marilah kita mengambil kesempatan ini dalam sejarah ekonomi dunia dan memastikan kurun ke-21 diterajui oleh Asia,” katanya semasa berucap pada majlis pengurniaan khas dan pelancaran Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China (WCEF) di sini semalam.

Majlis itu menyaksikan pengur-niaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat terhadap Najib oleh Penasihat WCEF Datuk Seri Chua Soi Lek dan Penaung WCEF Tan Sri Lee Kim Yew.

Najib menerima anugerah itu berikutan langkah berani dan sumbangannya ke arah mentransformasi negara Malaysia, terutama sekali transformasi ekonomi.

Perdana Menteri berkata, dalam iklim ekonomi semasa dan dengan zon Euro masih berada dalam keadaan kewangan yang buruk, dan Malaysia yang terletak di sebelah timur – khususnya China, India, Asean dan negara-negara Teluk — bagi merangsang pemulihan ekonomi global dan mengemudikan pertumbuhan ekonomi dunia. — Bernama

Wednesday, January 25, 2012

Anwar Hanya Tabur Janji Kosong Untuk Raih Sokongan Rakyat Sabah, Kata Musa


KOTA KINABALU. 24 Jan (Bernama) -- Pelbagai janji yang ditabur oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Sabah termasuk menaikkan pemberian royalti minyak sehingga 20 peratus dianggap sebagai janji kosong yang sengaja digembar-gemburkan semata-mata untuk meraih sokongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sudah menjadi lumrah bagi parti pembangkang menabur pelbagai janji apatah lagi menjelang pilihan raya umum.

"Ini kerja pembangkang... mereka menjanjikan apa saja bulan dan bintang kerana mereka tahu mereka tidak memerintah dan mereka bukan kerajaan.

"Semua janji ini adalah janji palsu. Saya percaya rakyat Sabah tahu janji ini adalah janji yang tidak boleh ditepati," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, dekat sini Selasa.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Anwar berhubung perkara itu pada majlis Rumah Terbuka PKR di Dewan Kian Kok, Likas, dekat sini semalam.

Beliau berharap rakyat Sabah tidak mudah terpedaya dengan janji manis parti pembangkang untuk meraih sokongan.

"Saya percaya rakyat kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk. Mereka tahu kerajaan BN adalah pilihan yang terbaik kerana BN sentiasa mengotakan janji," katanya.

Sambil memberi contoh pemberian bantuan RM100 untuk pelajar sekolah, bantuan buku RM200 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 bagi mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, Musa berkata ini membuktikan kerajaan BN benar-benar mengotakan janjinya "tidak seperti parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong".

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina, beliau berkata ia merupakan landasan terbaik untuk memantapkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai suku kaum.

"Amalan saling mengunjungi ke rumah-rumah terbuka adalah baik untuk menyemai semangat persaudaraan dan kekitaan dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita termasuk di Sabah," katanya.

Tuesday, January 24, 2012

PRU13: Najib yakin boleh rampas Kelantan



January 24, 2012

KOTA BHARU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan walaupun pertandingan antara BN dan Pas amat sengit, Kelantan merupakan 'winnable state' bagi BN pada pilihan raya umum itu.

"Apabila keyakinan itu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, ia menjadi suntikan semangat kepada kita untuk bekerja kuat," katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai kemenangan tersebut, Awang Adek berkata Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi 'pengundi atas pagar' yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

"Dalam perjumpaan itu, Perdana Menteri akui Wanita Umno adalah penggerak utama kita sebab Wanita ini dia banyak masuk ke akar umbi bertemu rakyat melalui Skuad Sayang. jadi Perdana Menteri kata dia nak bantu Wanita kerana dia tahu Wanita kerja kuat dan dengan adanya van Skuad Sayang, ia akan memberi kesan yang lebih kepada Wanita untuk mendampingi pengundi," katanya.

Sempena lawatan tersebut, Perdana Menteri turut menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Sunday, January 15, 2012

BN Perlu Tekun Dan Bijak Di Sarawak, Kata Presiden PRS

15 Januari, 2012 14:01 PM

BINTULU, 15 Jan (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergantung pada tagline kempen pilihan rayanya selama ini "Tiada Barisan Nasional, Tiada Pembangunan" di Sarawak kerana keadaan sudah berubah.

Ini kerana pengundi yang ada sekarang "bukan saja terdiri daripada golongan muda, tetapi juga berpelajaran tinggi dan amat mengetahui segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka"," katanya pada satu majlis jamuan anjuran PRS Cawangan Bintulu di sini, malam tadi.

Masing berkata kewujudan Internet telah mengubah senario yang wujud sebelum ini.

"Ia membawa kebaikan dan keburukan kepada kita. Dengan adanya Internet, kita ada media alternatif atau media sosial, yang mempunyai lebih ramai pembaca berbanding media arus perdana.

"Media alternatif ini mempunyai jangkauan yang lebih meluas dan dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Oleh itu, penduduk, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, mendapat pelbagai maklumat tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Masing berkata kehidupan mereka juga lebih makmur dan oleh itu memerlukan lebih banyak perkara, selain keperluan asas.

"Oleh itu, cubaan untuk menarik mereka dengan projek kecil atau projek pembangunan tidak lagi praktikal dan berkesan. Sebaliknya, kita bukan saja perlu bekerja keras, tetapi juga bekerja dengan bijak," katanya.

Beliau berkata antara caranya ialah para wakil rakyat perlu bersikap benar-benar jujur dan ikhlas terhadap mereka.

"Kalau kita tak mampu melakukan sesuatu, kita perlu berterus terang mengenainya. Kita juga perlu sentiasa turun padang.

"Saya dapati pengundi lebih mudah memaafkan kesilapan YB yang sentiasa bekerja keras serta sentiasa mudah didekati sepanjang tempoh perkhidmatan mereka berbanding yang hanya menunjukkan muka apabila menjelang pilihan raya," katanya.

Masing berkata perkara yang beliau nyatakan itu adalah berdasarkan pengalaman beliau semasa berada dalam pembangkang selama lapan tahun dan tidak berkemampuan untuk menawarkan sebarang projek pembangunan atau bantuan kepada rakyat.

"Apa yang saya miliki hanyalah masa dan itulah yang saya berikan kepada mereka. Setiap kali pilihan raya diadakan, pengundi membalas budi saya dan hasilnya, saya menang dengan undi yang sentiasa bertambah pada setiap pilihan raya," katanya.

Masing berkata beliau yakin kerajaan BN akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang. Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan selewat-lewatnya pada April 2013.

Beliau menasihati pengundi luar bandar, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Dayak, supaya menyokong BN kerana parti gabungan itu terbukti berlaku adil kepada semua rakyat.

"Janganlah cuba-cuba hendak memilih pemimpin Pakatan Rakyat kerana mereka tidak pernah bersatu daripada segi pendapat dan arah tuju," katanya.

-- BERNAMA

Transformasi Pendidikan, Modal Insan Asas Capai Negara Maju

Isnin Januari 16, 2012
mStar Online


PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

"Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan, di sini, Ahad.

Najib berkata sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

"Selain itu kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan, seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan," katanya.

"Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.

Najib berkata semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

"Ini adalah pelaburan untuk kita mencapai sebuah negara maju dan ia tak mungkin tercapai tanpa memajukan bidang pendidikan.

"Kita tak mungkin mencapai negara maju jika kita tidak buat transformasi untuk membangunkan modal insan, tidak buat transformasi kepada rakyat," katanya.

Pada majlis itu seramai 328 pelajar UPSR dan 146 pelajar PMR Parlimen Pekan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang berupa sumbangan wang tunai berjumlah RM200 setiap pelajar, sumbangan daripada Yayasan Pahang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak.

"Projek perumahan bersepadu di sini misalnya, mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta, ia satu kerjasama yang baik dalam usaha mentransformasi pembangunan negara ini," katanya.

Seramai 50 keluarga miskin di kawasan berkenaan yang layak, dipilih untuk menduduki rumah berkenaan secara percuma. - BERNAMA

Friday, January 13, 2012

Selangor dibidas lengah isu air

Oleh Mohd Zin Ali dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2012/01/13

MUHYIDDIN dan Ismail membayar pakej makan tengah hari Menu 1Malaysia di Restoran Tan Kopitiam sambil disaksikan Zulhasnan (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Sikap kerajaan negeri berdolak dalik mampu jejas kebajikan terhadap rakyat

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap berdolak dalik Kerajaan Selangor dalam menyelesaikan isu bekalan air sehingga mendedahkan kawasan Lembah Klang dengan krisis bekalan air yang dijangka berlaku 2014.

Sambil menyifatkan krisis itu semakin tenat dan berupaya memberi kesan kepada negara, Timbalan Perdana Menteri berkata jika kerajaan Selangor mendakwa mereka mengambil berat kebajikan rakyat, mereka sepatutnya membuat keputusan segera berhubung perkara itu.

“Ini proses yang sudah berlarutan lebih sepatutnya, pokoknya bukan soal Kerajaan Pusat tidak mengambil apa-apa langkah (sebaliknya) masalah besar adalah sikap kerajaan Selangor yang tidak memberi maklum balas.

“Mereka mengheret isu ini begitu lama, kita sudah jelaskan dan saya sebagai Pengerusi Majlis Air Negara sudah membangkitkan masalah yang sama dalam mesyuarat... kita begitu prihatin dan jika perkara ini tidak diselesaikan segera, krisis air tentu akan berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor kerana kita kini berdepan masalah bekalan air yang sangat genting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Wangsa Maju dan restoran Menu Rakyat 1Malaysia di Rampai Business Park, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Akhbar semalam melaporkan penduduk sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal berdepan masalah bekalan air yang teruk dua tahun lagi jika projek pembinaan Loji Air Langat 2 (LAL 2) tidak dijalankan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail, dilaporkan berkata, pembinaan loji tidak dapat diteruskan ekoran tiada kata sepakat antara kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Menurutnya, lapan daripada 10 projek dicadangkan SYABAS pada 2005 diterima bagi memastikan bekalan air kepada rakyat terjamin. Bagaimanapun sehingga 2010, hanya tiga dilaksanakan manakala selebihnya ditangguhkan kerajaan negeri dan Pusat.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sudah mengadakan beberapa kali perbincangan dengan kerajaan Selangor dan pihak berkenaan menyatakan mereka bersedia menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masalah itu belum diselesaikan.

“Soal pokoknya bukan di pihak kerajaan Pusat, ia terletak atas kesedaran kerajaan negeri, kalau mereka tidak membuat keputusan segera, kebimbangan yang kita rasakan akan berlaku itu boleh berlaku... nauzubillah, bermakna Lembah Klang akan berdepan krisis air yang tenat dan ini akan membawa kesan besar kepada negara,” katanya.

Thursday, January 12, 2012

SBPA ditangguh: Najib

bharian.com.my
2012/01/13

NAJIB memegang logo 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia sambil diperhatikan Muhyiddin, Ahmad Sarji (dua dari kanan), Hamad Kama (kiri) dan Wan Abdul Aziz (kanan) di PWTC, semalam. Kerajaan semak semula dasar, bincang isu pelaksanaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penangguhan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
"Setelah semakan semula dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam. Penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata semakan semula tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak dan satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. Dalam skim baru itu, hiraki perkhidmatan awam terdiri daripada empat peringkat, iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sementara itu, CUEPACS yang mewakili lebih 1.2 juta kakitangan awam menyambut baik langkah kerajaan menyemak semula SBPA yang dilihat mampu menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum pelaksanaannya.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, sebelum ini hampir keseluruhan anggota kerajaan kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji penjawat awam yang banyak kekeliruan.

PKR mahu kerajaan bekukan aset NFC


RUZYA ADILA IDRIS
January 12, 2012
Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dipercayai telah memanggil satu mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu dan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM), dijadual akan berlangsung esok, untuk memutuskan beberapa perkara penting.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat and Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil oleh NFC.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil dua mesyuarat ini dalam tempoh singkat berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya lagi.

“Keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urus niaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti mana didedahkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini tadi.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan segera campur tangan dengan membekukan sebarang aktiviti oleh semua syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta.

Katanya, Kementerian Kewangan cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima tanggungjawab walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC.

"Malah kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urus niaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

"Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urus niaga yang mencurigakan, saya cadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah NFC melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai," katanya.

Beliau menambah, tindakan ini bertepatan dengan amalam tatakelola yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.

Isu itu meletus selepas PKR mendakwa syarikat tersebut menggunakan dana NFC untuk membeli seunit kondominium mewah selepas masalah membabitkan projek ternakan lembu itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

PRU 13: Kayveas tiada dalam senarai PPP

January 11, 2012
Sinar Harian

PUTRAJAYA - Nama Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas tidak terdapat dalam senarai bakal calon parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama hari ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada bertanding atau tidak kepada Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"PPP memang telah menghantar senarai nama calon yang berpotensi untuk bertanding dalam PRU 13 nanti dan nama saya tidak terdapat dalam senarai itu walaupun ahli parti mahukan saya bertanding semula. Biarlah Datuk Seri Najib putuskan sama ada saya bertanding atau tidak.

"Saya mengambil pendirian itu kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang telah berjasa lama. Mereka telah memberi sumbangan besar kepada parti dan masyarakat. Jadi pemimpin-pemimpin itu perlu diberi peluang. Mereka perlu menang dan menguatkan BN," katanya.

PPP telah mengemukakan hasrat bertanding di empat kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri kepada Najib.

Pada pilihan raya umum lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu kawasan Parlimen Taiping dan kawasan DUN Pasir Bedamar.

Di Taiping, Kayveas tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming dengan 11,298 undi manakala bagi kerusi Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada Seah Leong Peng daripada DAP dengan 7,914 undi.

Kayveas, yang menjadi Presiden PPP sejak 1993, juga berkata beliau akan melepaskan jawatan itu kepada Naib Presiden Kanan yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin D'Cruz sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum nanti.

"Kalau saya tidak bertanding dalam PRU 13, selepas pilihan raya nanti saya akan melepaskan jawatan presiden. Biarlah pemimpin baru menerajui PPP. Saya boleh menjadi penasihat parti," katanya.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia Untuk Mereka Berpendapatan RM3,000 Ke Bawah Dilancar



Khamis Januari 12, 2012 
mStar

KUALA LUMPUR: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) kini dibuka kepada isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Skim ini adalah untuk mengalakkan mereka yang berada di dalam kumpulan berpendapatan rendah untuk menabung, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancarannya di sini Khamis.

Najib telah mengumumkan mengenai pembentukan skim ini ketika membentangkan bajet 2012 hujung Oktober lalu.

Ia akan memberi faedah kepada sekurang-kurangnya 100,000 isi rumah.

Di bawah skim ini, mereka yang layak boleh melabur RM5,000 di dalam skim amanah berkenaan dan mampu menikmati pulangan pelaburan sehingga RM134 sebulan.

Mereka juga boleh memohon pinjaman daripada institusi kewangan untuk melabur di dalam skim tersebut.

Permohonan untuk melabur di dalam SARA 1Malaysia ini akan dibuka mulai 30 Januari ini. 
 
KELAYAKAN
  1. Permohonan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 58 tahun
  2. Pemohon mesti mempunyai pendapatan kasar isi rumah antara RM500 hingga RM3,000
  3. Pemohon tidak muflis sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman
  4. Syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh bank
  5. Pemohon dan /atau pasangan tidak menerima bantuan dari skim-skim khas lain Kerajaan yang diuruskan oleh ASNB:
    • Program Bantuan Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT);
    • ASB Sejahtera; dan
    • ASW 2020 Bandar
  6. Pemohon dan /atau pasangan tidak memiliki pelaburan di dalam mana-mana unit amanah ASNB ATAU; sekiranya ada, jumlah pelaburan terkumpul bersamaan atau kurang dari RM10,000
  7. Status akaun unit amanah ASNB tidak bermasalah
  8. Permohonan adalah tertakluk kepada agihan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia)I sepertimana yang telah ditetapkan dan sekiranya masih ada:
    • Bumiputera - 50%;
    • Cina - 30%;
    • India - 15%; dan
    • Lain-lain - 5%
  9. Hanya salah seorang isi rumah yang layak memperolehi pembiayaan pinjaman
  10. Permohonan diluluskan bagi pinjaman di satu bank sahaja
DOKUMEN DIPERLUKAN
Dokumen Utama
  • Borang Permohonan Penyertaan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (BPPSARA1M)
  • Borang Pembiayaan dari Institusi Kewangan terlibat
  • Borang Pendaftaran Unit Amanah Akaun Dewasa ASNB P1
  • Borang Pelaburan Tambahan ASNB 21
  • Borang Jualan Balik ASNB 31
  • Borang Pembaharuan Buku Pelaburan BS3
  • Penyata Pendedahan Risiko/ Risk Disclosure Statement (RDS)
Dokumen Sokongan
  • Kad Pengenalan asal pemohon dan 2 salinan
  • Kad Pengenalan asal pasangan (jika berkenaan), dan 1 salinan
  • Dokumen Pengesahan Pendapatan
    • Bagi Pemohon dan/atau pasangan bekerja, sertakan Penyata Gaji 3 bulan terkini ATAU Penyata Bank 3 bulan terkini asal dan salinan.
    • Bagi pemohon yang tidak memiliki Penyata Gaji atau Penyata Bank, perakuan dan perisytiharan yang dinyatakan dalam BPPSARA1M Bahagian C akan diguna pakai.
    * BPPSARA1M MESTI ditandatangani di hadapan seorang SAKSI - sama ada Majikan/Penghulu/Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli/Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan & Profesional/Ahli Dewan Undangan Negeri/Ahli Parlimen

    sumber http://www.sara1malaysia.com.my

 

Wednesday, January 11, 2012

Adakah DAP Terima Pakai Satu Calon Bagi Satu Kerusi Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang?


11 Januari, 2012 17:18 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Adakah DAP akan menerima pakai dasar seorang calon bagi satu kerusi pada pilihan raya umum akan datang seperti yang ditekankan oleh Pengerusi Kebangsaan parti Karpal Singh?

Persoalan ini telah menyebabkan ramai di kalangan anggota akar umbi DAP tersenyum sinis yang menyatakan mereka ingin sangat mempercayainya hanya jika ada jaminan bahawa tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pemimpin atau yang terpilih.

"Lebih baik tanya (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng atau (Exco Selangor) Teresa Kok atau (pemimpin pembangkang Negeri Sembilan) Anthony Loke dan lain-lain yang kini menjadi Anggota Parlimen dan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri)," kata seorang anggota akar umbi yang enggan memberikan nama.

"Tiada lagi dua kerusi, tidak seperti masa kami, kami dulu tidak mempunyai calon yang mencukupi. Sekarang keadaan sudah berubah, kami mempunyai ramai calon dan kami mesti memberi peluang kepada yang lain. Saya ambil serius isu ini, tiada lagi kerusi berganda dalam DAP," kata Karpal yang dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di pejabatnya, pada Selasa.

Parti itu kini sudahpun menggerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan meminda perlembagaannya bagi membenarkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga akhir tahun.

Bagaimanapun, dua isu penting yang timbul di kalangan anggota parti itu, bahawa seorang calon hanya perlu bertanding bagi satu kerusi dan sama ada DAP akan meletakkan lebih ramai calon Melayu, tidak diselesaikanpun pada mesyuarat di Shah Alam baru-baru ini.

Banyak di kalangan pemimpin akar umbi percaya kenyataan Karpal mengenai tiada lagi dua kerusi dengan pengecualian bagi calon-calonnya di Sabah dan Sarawak, hanya untuk menyejukkan isu itu memandangkan parti itu sedang bersiap sedia untuk bertanding kira-kira 35 kerusi Parlimen dan berdozen-dozen kerusi negeri.

Satu laporan menyebut bahawa anggota akar umbi DAP mengalu-alukan pengecualian di Sabah dan Sarawak kerana kurangnya calon yang berkemampuan tetapi bukan untuk calon ketua menteri.

Ada yang berhujah Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP perlu memilih sama ada kerusi negeri atau parlimen memandangkan sejak pilihanraya umum 1974, ketua-ketua menteri Pulau Pinang hanya bertanding bagi satu kerusi negeri.

Pada masa ini, Lim merupakan ADUN Air Putih dan Anggota Parlimen kawasan Bagan.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata dengan membenarkan ahli politik bertanding bagi kerusi Parlimen dan Negeri bukan suatu yang baru kepada DAP atau parti memerintah Barisan Nasional di peringkat persekutuan, kerana dasar itu telah diterima pakai sejak begitu lama.

Beliau bersetuju bahawa DAP perlu melihat secara serius dasar satu calon bagi satu kerusi tetapi hanya di kawasan tertentu sahaja dengan menambah kata ia tidak terpakai bagi mereka yang memegang jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar.

"Dasar persekutuan mempunyai impak ke atas negeri. Bagi pemimpin-pemimpin seperti Lim Guan Eng untuk bertanding bagi pilihan raya negeri dan parlimen adalah sah kerana mereka akan menggunakan Parlimen bagi menyuarakan pandangan mereka mengenai isu yang digubal di peringkat kebangsaan," katanya kepada Bernama.

Tan menjelaskan ada beberapa faktor lain seperti kemampuan seseorang calon yang boleh menang dan oleh itu, sesetengah daripada mereka perlu diletakkan bagi kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan.

"Pada masa ini, tiada keputusan dibuat. tetapi sudah tentu, CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat ) perlu memutuskan perkara ini sebelum parti memuktamadkan senarai calon-calonnya. Sudah pasti, kami akan membuat keputusan mengenai perkara ini.

Bagaimanapun, beberapa anggota dalaman parti dan pemerhati politik sangsi parti itu akan menerima pakai dasar satu calon bagi satu kerusi.

Mereka berkata sekurang-kurangnya enam wakil DAP yang dipilih akan terjejas: Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy (ADUN Prai dan Anggota Parlimen Batu Kawan), Ketua DAP Pulau Pinang dan Exco Chow Kon Yeow (ADUN Padang Kota dan Anggota Parlimen Tanjung), Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham (ADUN Sitiawan dan Anggota Parlimen Beruas).

Yang lain termasuk setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming (ADUN Pantai Remis dan Anggota Parlimen Taiping), Exco Selangor Teresa Kok (Anggota Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara) dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke (ADUN Lobak dan Anggota Parlimen Rasah).

Kebanyakan daripada mereka enggan, sebagai pihak berkepentingan, untuk mengulas perkara ini ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya tidak mungkin parti akan menerima pakai dasar itu kerana dari segi politik ia mungkin berisiko.

"Apa yang akan mereka lakukan, mungkin cuba untuk meletakkan lebih banyak muka baru bagi kerusi dewan negeri dan parlimen tapi tidak meminta mereka yang menyandang dua kerusi untuk melepaskan satu daripadanya," kata pemerhati politik.

Satu perkara yang pasti ketika ini ialah parti mungkin meletakkan lebih ramai calon Melayu pada pilihan raya umum bermula dengan Johor, di mana DAP dijangka meletakkan sekurang-kurangnya dua calon Melayu.

Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau mengesahkan badan perhubungan negeri telah menyenaraikan dua calon bagi dua kerusi tetapi enggan mendedahkan identiti mereka atau kerusi yang bakal ditandingi.

"Seorang akan bertanding di Parlimen dan seorang lagi kerusi dewan negeri," katanya kepada Bernama.

Sunday, January 8, 2012

Pemecatan Hasan Ali Soal Dalaman PAS - Najib


 
09 Januari, 2012 10:42 AM

Oleh Ahmad Kamil Tahir

BLOEMFONTEIN (AFRIKA SELATAN), 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemecatan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai anggota Pas adalah soal dalaman parti itu dan dan tidak ada kena mengena dengan Umno.

"Dari segi Umno kita anggap ini sebagai soal dalaman Pas dan tidak ada kena mengena sama sekali dengan sebarang campur tangan Umno dalam hal ini," kata Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya selama dua hari ke Afrika Selatan berakhir semalam.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata ini bukan hanya soal pemecatan Hasan Ali tetapi permasalahn ini ada sangkut paut dengan dasar serta hala tuju Pas pada masa kini dan akan datang.

"Nampaknya ada perbezaan besar daripada segi pendapat tentang hala tuju serta masa depan Pas tetapi pada pokok kita (Umno) anggap ini soal dalaman Pas dan bukan soal Umno," katanya.

Semalam Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemecatan Hasan berkuat kuasa serta merta.

Abdul Hadi berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Pas Pusat di Kuala Lumpur semalam berdasarkan Fasal 82(9). Hasan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihak pembangkang yakin akan dapat menambah kerusi pada pilihan raya umum ke-13 nanti serta menawan Putrajaya, Najib menganggap itu sebagai kempen psikologi semata-mata dan bukan merupakan sesuatu yang baru.

Perdana Menteri berkata seperti dalam perlawanan bola sepak atau badminton masing-masing akan menyatakan keyakinan untuk mengatasi pihak lawan.

"Jadi tidaklah merupakan sesuatu yang aneh sekiranya pihak pembangkang akan mendakwa dia ada kelebihan dan menakluki negeri-negeri tertentu dan sebagainya. Malahan kita tahu selepas pilihan raya 2008 dulu dia mendakwa bahawa pada 16 Sept pada tahun itu dia akan tubuh kerajaan tetapi yang kita tahu dakwaan itu meleset sama sekali," kata Najib.

Beliau berkata keyakinan pembangkang itu merupakan kaedah kempen yang bersifat psikologi yang bukan asing bagi kerajaan dan kerajaan memang menjangkakan itulah yang akan dilakukan oleh mereka.

"Namun kita tidak boleh pandang ringan kepada sebarang pertandingan sewaktu pilihan raya. Oleh sebab itu Barisan Nasional perlu tingkatkan tahap kesiapsiagaan kita dalam semua aspek supaya kita dapat kemenangan besar seperti mana yang diharapkan," kata Najib.

Tuesday, January 3, 2012

KBS Kaji Kaedah Pemilihan 222 Wakil Parlimen Belia

Rabu Januari 4, 2012

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji kaedah pemilihan 222 wakil Parlimen Belia untuk memastikan kesaksamaan gender dan kumpulan etnik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Gan Ping Sieu berkata, kementerian mencadangkan agar permohonan untuk menjadi wakil belia dilaksanakan secara talian berdasarkan kawasan parlimen di seluruh negara.

Cabaran besar proses ialah memastikan kesaksamaan gender dan semua kumpulan etnik, termasuk kumpulan minoriti mempunyai wakil di Parlimen Belia, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

"Proses pemilihan wakil belia dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua bulan yang akan datang," katanya yang sebelum itu mengadakan dialog dengan National Young Lawyers Committee yang diketuai Presidennya, Richard Wee.

Gan berkata, mereka yang berusia di bawah 30 tahun layak untuk memohon menjadi wakil Parlimen Belia namun mereka perlu mendapatkan pencalonan daripada Majlis Belia Malaysia (MBM).

Parlimen Belia dijangka akan bersidang pada penghujung tahun ini atau awal tahun 2013 dan KBS serta MBM akan mengadakan satu persidangan percubaan pada Mac atau April ini, katanya.

"Persidangan percubaan ini adalah untuk memastikan persidangan Parlimen Belia nanti berjalan dengan lancar," katanya.

Penubuhan Parlimen Belia merupakan satu daripada enam perkara utama dalam pelan pembangunan belia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Himpunan Satu Juta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 pada Mei lepas.

Mengenai kejadian mahasiswa ditahan kerana menyertai demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Ahad lepas, Gan berkata timbul beberapa tanda tanya dalam insiden tersebut.

"Saya hanya menonton klip video lapan minit itu. Banyak persoalan yang timbul...buat sementara ini biar siasatan diteruskan dan kita tunggu laporan," katanya. - BERNAMA

Azmin Beri Jaminan Perhimpunan Sokong Anwar 9 Januari Aman

Rabu Januari 4, 2012

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Gerakan para penyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk berhimpun menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari pengumuman keputusan kes liwatnya pada 9 Januari ini dijamin sebagai satu perhimpunan aman, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

“Kita juga memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang insiden yang tidak baik akan berlaku melainkan terdapat provokasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Azmin berkata, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia dan anggota-anggota parti untuk bersama-sama berhimpun pada hari berkenaan.

“Ini untuk meneruskan agenda kita dan tumpuan ialah memastikan rakyat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menghargai pimpinan dan rakan-rakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP untuk turut bersama-sama menggerakkan perhimpunan menyokong Anwar pada 9 Januari ini.

“PAS dan DAP memberi jaminan bahawa mereka akan bersama-sama (dalam perhimpunan) pada 9 Januari ini,” katanya.

Jelas beliau, gerakan itu bukan sekadar menunjukkan sokongan kepada Anwar tetapi persetujuan dalam pakatan adalah berdasarkan prinsip bahawa sistem yang ada sekarang perlu diperbaiki sama ada sistem ekonomi, kehakiman atau pendidikan.

“Kita yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (untuk melakukan perubahan itu),” katanya yang terdahulu menegaskan PR akan menggerakkan seramai 100,000 penyokong pada hari tersebut.

Calon BN Perak akan diumum lebih awal - Zambry


IPOH 3 Jan. - Barisan Nasional (BN) Perak akan mengumumkan lebih awal calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, langkah itu bagi membolehkan pengundi di sesebuah kawasan membiasakan diri dengan calon yang memenuhi kriteria disukai dan boleh menang.

"Saya telah pun mengenal pasti calon-calon dan kita kini menjalankan penilaian secara berterusan terhadap semua yang berpotensi.

"Kita belajar daripada kesalahan lalu apabila mengemukakan nama calon pada saat akhir," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan laluan alternatif Bercham ke Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan semula calon-calon BN yang tewas pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, perkara tersebut wajar dikaji semula berikutan kekalahan tipis itu disebabkan oleh kesan tsunami politik pada 2008.

"Ada sesetengah kawasan mungkin pengundinya sukar menerima seseorang ahli Parlimen atau ketua bahagian, maka calon-calon lain yang bernaung di dalam parti sama turut menerima tempiasnya," katanya.

Tambah Zambry, walaupun tewas, calon-calon tersebut tetap bekerja untuk rakyat sekali gus membuka mata pengundi di kawasan berkenaan untuk kembali menyokong BN.

"Apabila saya turun padang untuk bertemu rakyat dan peniaga, ada yang mahukan calon yang kalah tipis ini bertanding semula kerana wakil rakyat sedia ada tidak melaksanakan tugas dengan baik.

"Justeru, soal majoriti rendah atau tinggi pada pilihan raya lalu bukan penentu dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

Dakwaan penyelewengan pemilihan cawangan SUPP berasas: ROS

Posted on January 3, 2012, Tuesday

KUCHING: Siasatan pasukan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini dikatakan menemui kebenaran di sebalik dakwaan berlaku penyelewengan ketika pemilihan cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Jika ia memang benar, ia boleh menjejaskan parti dan mendatangkan kesan terhadap kesahihan Persidangan Tritahunan Perwakilan (TDC) parti baru-baru ini, lapor akhbar bahasa Cina tempatan, See Hua Daily News, semalam.

Akhbar berkenaan dalam laporannya menyatakan bahawa sepasukan 17 pegawai daripada ROS dari Putrajaya berada di negeri ini selama dua minggu untuk menjalankan penyiasatan dan berjumpa dengan ketua-ketua cawangan.

Kumpulan berkenaan melakukan siasatan di Pending, Sibu, Kanowit, Sarikei, Bintangor, Bintulu dan Piasau – tempat di mana aduan difailkan.

Memetik sumber, laporan itu menambah kata bahawa pasukan itu dibenarkan membuktikan dakwaan bahawa terdapat persetujuan daripada orang di ‘koridor kuasa’.

Bagaimanapun, ketua kumpulan itu menolak untuk memberi penjelasan lanjut apabila ditanya oleh akhbar berkenaan.

Para pemimpin SUPP juga tidak mahu memberi komen, dengan seorang pemimpin menyatakan adalah tidak adil untuk menyatakan sesuatu sebelum ROS secara rasmi mengumumkan hasil siasatan mereka.

TDC SUPP yang diadakan dari 9 hingga 11 Disember lalu diselubungi kontroversi berikutan aduan difailkan oleh beberapa cawangan yang mendakwa berlaku penyelewengan dari segi cara pemilihan cawangan diadakan.

Satu kumpulan diketuai Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh telah menjauhi TDC itu memandangkan mereka memilih untuk menunggu sehingga ROS membuktikan kebenaran dakwaan itu.

Satu lagi kumpulan yang diketua Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin meneruskan TDC yang menyaksikan beliau dipilih sebagai presiden baharu SUPP.

Monday, January 2, 2012

Pemuda BN Sarawak kutuk penganjur Bebas Anwar 901


02/01/2012 3:02pm


KUCHING 2 Jan. — Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengutuk sekeras-kerasnya penganjur kempen “Bebas Anwar 901” sempena keputusan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Jan. ini.

Ketuanya, Datuk Fadillah Yusof berkata, kempen itu menggambarkan mereka yang bersimpati dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak menghormati undang-undang negara dan meletakkan kepentingan individu lebih daripada kemakmuran rakyat dan negara.

Beliau berkata, penganjur itu juga mahu memburuk-burukkan imej negara sekaligus memberi gambaran negatif kepada pelancong dan pelabur tentang Malaysia.

Katanya, penganjur berkenaan juga jelas mempermain dan mempersendakan serta cuba melengah-lengahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kes liwat itu pada 9 Jan ini.

Dalam pada itu, Fadillah menasihati rakyat Sarawak yang berada di ibu negara ataupun di mana-mana sahaja agar mereka tidak terjebak dan terbabit dalam perhimpunan yang tidak memberi faedah kepada negara. — BERNAMA

Sunday, January 1, 2012

Kempen 'Bebas Anwar' Hanya Untuk Kepentingan Individu: Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kempen Bebas Anwar 901 yang dirancang oleh sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat tidak lebih daripada usaha memperjuangkan kepentingan peribadi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut pemerhati dan penganalisis politik.

Dijadual berlangsung 9 Jan ini pada hari penghakiman kes liwat membabitkan Anwar sebagai tertuduh, dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan selaku pengadu, dilihat sebagai satu helah PKR bagi mempengaruhi masyarakat kononnya kesemuanya hanyalah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar yang merupakan ketua umum parti itu.

Namun, rata-rata pemerhati menganggap tindakan tersebut seolah-olah membuatkan Anwar dan pengikutnya begitu yakin bahawa beliau sudah didapati bersalah, sehingga memaksa mereka mengadakan kempen sedemikian rupa untuk terus mencetuskan huru-hara, serupa dengan apa yang berlaku pada tahun 1998 ketika Anwar berdepan kes serupa.

Penganalisis politik Md Shukri Shuib daripada Universiti Utara Malaysia berkata tidak sewajarnya penyokong yang taksub kepada Anwar terus diperkudakan, sedangkan kes itu bersifat peribadi melibatkan Anwar dan Saiful dan yang tidak melibatkan kepentingan negara.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa PKR bukanlah berjuang untuk kepentingan rakyat, hanya bertujuan memastikan kedudukan ketua umum mereka terjamin," katanya kepada Bernama.

Md Shukri, pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa UUM, berkata penyokong taksub Anwar harus berfikiran secara rasional dan tahu membezakan mana satu kepentingan individu dan yang mana kepentingan negara.

"Di mana ketelusan mereka? Kalau mereka memperjuangkan hak Anwar dalam pengadilan ini, di mana pula mereka letakkan hak Saiful yang juga berhak diadili sebagai rakyat Malaysia.

"Sentimen harus difahami iaitu keserataan dalam hak perundangan, tak kira ketua pembangkang atau rakyat biasa, keserataan ini perlu difahami dan dipegang teguh oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata, adalah lebih rasional jika penyokong-penyokong ini mendengar dengan teliti keputusan penghakiman dan hujah hakim nanti kerana keputusan itu berdasarkan fakta yang dibahas oleh pendakwa raya dan peguam bela, bukan rekaan atau konspirasi seperti yang digembar-gemburkan mereka sejak dahulu.

Selari dengan pendapat itu, seorang lagi penganalis politik Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, mereka yang ingin menyertai kempen itu harus memahami prosedur kehakiman terlebih dahulu sebelum membuat demonstrasi membuta-tuli.

Beliau berkata mereka harus faham keputusan yang dibuat mahkamah dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia harus dihormati oleh semua pihak.

Azeem Fazwan, yang merupakan Pengerusi Program Sains Politik di Universiti Sains Malaysia berkata, jika Anwar didapati bersalah, maka jalan yang ada ialah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, dan juga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

"Sama ada Anwar didapati bersalah atau tidak, itu keputusan dibuat berdasarkan fakta, bukan berasaskan kepada apa-apa fahaman politik. Ia akan dinilai oleh hakim berdasarkan fakta yang dibawa dalam mahkamah.

"Tidak kira kapasiti beliau sebagai ketua pembangkang atau bekas Timbalan Perdana Menteri, dalam mana-mana negara seperti Malaysia yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan, tidak ada seorangpun rakyat yang kedudukan dia mengatasi undang-undang," katanya.

Beliau berpendapat, penyokong-penyokong Anwar seharusnya tidak mengamalkan sikap 'double standard' dengan hanya mempersoal keputusan mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada mereka.

-- BERNAMA

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews