Sunday, December 18, 2011

Perubahan UMNO Tidak Harus Dibayangi Pemimpin Pentingkan Diri Sendiri


17 Disember, 2011 15:52 PM

Oleh Mohd Noor Firdaus Mohd Azil

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Agenda transformasi yang dilaungkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus diperkatakan, namun soal menghayati aspirasi berkenaan di pihak anggota parti Melayu terbesar itu turut mendapat perhatian.

Beberapa perkara acapkali dibangkitkan Najib dalam memastikan hala tuju parti berada pada landasan tepat, termasuk memastikan hanya 'winnable candidates' saja bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, selain usaha meremajakan parti itu.

Namun, pemerhati politik melihat dalam kalangan segelintir pemimpin yang memegang jawatan seolah-olah wujud kerisauan akan kehilangan apa yang digenggam seandainya tidak tersenarai sebagai calon.

Menurut penganalisis politik Md Shukri Shuib, adalah perlu bagi pemimpin sebegini menginsafi dan membuat muhasabah diri serta tidak membelakangkan agenda sebenar Umno iaitu memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata perubahan Umno sangat diperlukan namun usaha ke arah itu akan dibayangi kewujudan pemimpin yang hanya mendepankan kepentingan diri sendiri.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata sikap segelintir pemimpin ini harus ditolak sama sekali kerana ia hanya akan menjadi parasit yang memusnahkan parti terbesar kaum Melayu itu daripada dalam.

"Kenapa bila kita bertanding kita nak menang, tapi bila orang lain kita nak tengok dia kalah? Ini seolah-olah menunjukkan orang itu cuba membakar sekolah sendiri tempat dia menimba ilmu, dan tidak mahu memberi peluang kepada orang lain.

"Umno ni berjuang demi agama, bangsa dan negara serta merupakan tunjang belakang pengurusan Malaysia...Jangan dirosakkan perjuangan itu, ditukar kepada perjuangan aku dan diri sendiri," katanya.

Md Shukri berkata pemimpin sebegini sepatutnya menjadi mentor kepada generasi baru yang bakal mewarnai arena politik negara kerana gabungan tenaga dan idea dua generasi itu akan memantapkan serta memberi imej lebih segar kepada parti tersebut.

"Generasi pelapis harus dilatih serta didedahkan dengan pengalaman oleh pemimpin terdahulu. Kita tak boleh anggap hanya orang muda sahaja sebagai aset, kerana walaupun pemikiran mereka lebih kritikal, tetapi tanpa pengalaman ia tidak akan lengkap," katanya.

Menyokong kenyataan tersebut, seorang lagi pemerhati politik, Khairuddin Mohd Zain berpendapat peremajaan Umno tidak bermaksud faktor umur muda sahaja menjadi kriteria kerana ia turut bererti penampilan muka-muka baru yang bebas daripada unsur yang boleh memudaratkan parti secara amnya.

"Bila kita kata peremajaan Umno, dia tak merujuk kepada remaja daripada sudut umur. What can be more influential ialah orang yang tak ada 'political baggage' tidak dicemari dengan isu yang boleh mencalarkan imej parti.

"Mesej presiden cukup jelas; mendepankan 'winnable candidate' bermaksud mengurangkan wajah-wajah yang mempunyai masalah serta berisiko menjadi liabiliti kepada parti serta mendahulukan wajah-wajah lebih telus, mempunyai integriti serta disenangi rakyat," kata anggota Jawatankuasa Alumni Universiti Islam Antarabangsa itu.

Ditanya mengenai sikap pemimpin yang mungkin kecewa sekiranya tidak dicalonkan, Khairuddin berkata rakyat sendiri akan menilai keikhlasan individu tersebut.

"Masyarakat kita makin terdidik, dan orang-orang macam ini akan alami masalah dengan credibility sendiri. Bila dia marah orang sebab dia tak dapat something, that shows that you're not sincere," katanya.

Menurut Khairuddin masalah utama Umno sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah parti itu dilihat kurang menitikberatkan usaha melahirkan pelapis kepimpinan yang baru.

Namun, beliau merasakan Najib sudah berjaya mengawal keadaan tersebut dengan gaya kepimpinannya tersendiri.

"Najib has a clear picture of what he's going to do tetapi jika segelintir pemimpin akar umbi masih sibuk tentang siapa patut pegang jawatan, rasa tercabar kalau ada orang lain lebih menonjol, ini hanya akan menunjukkan kepada masyarakat bahawa akar umbi tidak mendokong aspirasi kepimpinan tertinggi," katanya.

Khairuddin merasakan PRU akan datang merupakan medan terbaik untuk Umno mengketengahkan invidividu berwibawa, berkredibiliti, ada idealisme dan mampu mendekati rakyat.

"PRU kali ini menjadi window untuk Umno menukar atau mencari sistem nilai baru yang sesuai dengan keadaan. Kerana mereka harus sedar masyarakat, khususnya orang muda, lebih menghargai kepimpinan yang telus serta adil," katanya.

Seorang anggota Pemuda Umno, Mohamad Nazmi Zaidi Moni menganggap kerjasama erat antara golongan lama dan baru sangat diperlukan bagi memastikan kesinambungan parti.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Seri Setia Lembah Keramat itu menarik perhatian bahawa pengalaman dan tunjuk ajar orang lama masih diperlukan dalam menghadapi sepak terajang politik.

"Golongan muda sekarang lebih kritis dalam berfikir tetapi kekurangan mereka ialah semangat yang dirasai golongan terdahulu yang telah bersama Umno sejak sekian lama, ketika zaman sebelum dan selepas kemerdekaan.

"Bagi memastikan semangat yang diperjuangkan parti berterusan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin yang ada mendidik dan mengasuh golongan muda, bukannya mencantas dan menutup peluang," tegasnya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews