Showing posts with label Politik Semenanjung. Show all posts
Showing posts with label Politik Semenanjung. Show all posts

Tuesday, January 24, 2012

PRU13: Najib yakin boleh rampas Kelantan



January 24, 2012

KOTA BHARU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan walaupun pertandingan antara BN dan Pas amat sengit, Kelantan merupakan 'winnable state' bagi BN pada pilihan raya umum itu.

"Apabila keyakinan itu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, ia menjadi suntikan semangat kepada kita untuk bekerja kuat," katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai kemenangan tersebut, Awang Adek berkata Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi 'pengundi atas pagar' yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

"Dalam perjumpaan itu, Perdana Menteri akui Wanita Umno adalah penggerak utama kita sebab Wanita ini dia banyak masuk ke akar umbi bertemu rakyat melalui Skuad Sayang. jadi Perdana Menteri kata dia nak bantu Wanita kerana dia tahu Wanita kerja kuat dan dengan adanya van Skuad Sayang, ia akan memberi kesan yang lebih kepada Wanita untuk mendampingi pengundi," katanya.

Sempena lawatan tersebut, Perdana Menteri turut menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Sunday, January 15, 2012

Transformasi Pendidikan, Modal Insan Asas Capai Negara Maju

Isnin Januari 16, 2012
mStar Online


PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

"Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan, di sini, Ahad.

Najib berkata sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

"Selain itu kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan, seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan," katanya.

"Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.

Najib berkata semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

"Ini adalah pelaburan untuk kita mencapai sebuah negara maju dan ia tak mungkin tercapai tanpa memajukan bidang pendidikan.

"Kita tak mungkin mencapai negara maju jika kita tidak buat transformasi untuk membangunkan modal insan, tidak buat transformasi kepada rakyat," katanya.

Pada majlis itu seramai 328 pelajar UPSR dan 146 pelajar PMR Parlimen Pekan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang berupa sumbangan wang tunai berjumlah RM200 setiap pelajar, sumbangan daripada Yayasan Pahang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak.

"Projek perumahan bersepadu di sini misalnya, mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta, ia satu kerjasama yang baik dalam usaha mentransformasi pembangunan negara ini," katanya.

Seramai 50 keluarga miskin di kawasan berkenaan yang layak, dipilih untuk menduduki rumah berkenaan secara percuma. - BERNAMA

Thursday, January 12, 2012

SBPA ditangguh: Najib

bharian.com.my
2012/01/13

NAJIB memegang logo 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia sambil diperhatikan Muhyiddin, Ahmad Sarji (dua dari kanan), Hamad Kama (kiri) dan Wan Abdul Aziz (kanan) di PWTC, semalam. Kerajaan semak semula dasar, bincang isu pelaksanaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penangguhan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
"Setelah semakan semula dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam. Penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata semakan semula tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak dan satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. Dalam skim baru itu, hiraki perkhidmatan awam terdiri daripada empat peringkat, iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sementara itu, CUEPACS yang mewakili lebih 1.2 juta kakitangan awam menyambut baik langkah kerajaan menyemak semula SBPA yang dilihat mampu menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum pelaksanaannya.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, sebelum ini hampir keseluruhan anggota kerajaan kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji penjawat awam yang banyak kekeliruan.

PKR mahu kerajaan bekukan aset NFC


RUZYA ADILA IDRIS
January 12, 2012
Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dipercayai telah memanggil satu mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu dan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM), dijadual akan berlangsung esok, untuk memutuskan beberapa perkara penting.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat and Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil oleh NFC.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil dua mesyuarat ini dalam tempoh singkat berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya lagi.

“Keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urus niaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti mana didedahkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini tadi.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan segera campur tangan dengan membekukan sebarang aktiviti oleh semua syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta.

Katanya, Kementerian Kewangan cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima tanggungjawab walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC.

"Malah kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urus niaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

"Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urus niaga yang mencurigakan, saya cadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah NFC melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai," katanya.

Beliau menambah, tindakan ini bertepatan dengan amalam tatakelola yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.

Isu itu meletus selepas PKR mendakwa syarikat tersebut menggunakan dana NFC untuk membeli seunit kondominium mewah selepas masalah membabitkan projek ternakan lembu itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

PRU 13: Kayveas tiada dalam senarai PPP

January 11, 2012
Sinar Harian

PUTRAJAYA - Nama Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas tidak terdapat dalam senarai bakal calon parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama hari ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada bertanding atau tidak kepada Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"PPP memang telah menghantar senarai nama calon yang berpotensi untuk bertanding dalam PRU 13 nanti dan nama saya tidak terdapat dalam senarai itu walaupun ahli parti mahukan saya bertanding semula. Biarlah Datuk Seri Najib putuskan sama ada saya bertanding atau tidak.

"Saya mengambil pendirian itu kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang telah berjasa lama. Mereka telah memberi sumbangan besar kepada parti dan masyarakat. Jadi pemimpin-pemimpin itu perlu diberi peluang. Mereka perlu menang dan menguatkan BN," katanya.

PPP telah mengemukakan hasrat bertanding di empat kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri kepada Najib.

Pada pilihan raya umum lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu kawasan Parlimen Taiping dan kawasan DUN Pasir Bedamar.

Di Taiping, Kayveas tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming dengan 11,298 undi manakala bagi kerusi Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada Seah Leong Peng daripada DAP dengan 7,914 undi.

Kayveas, yang menjadi Presiden PPP sejak 1993, juga berkata beliau akan melepaskan jawatan itu kepada Naib Presiden Kanan yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin D'Cruz sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum nanti.

"Kalau saya tidak bertanding dalam PRU 13, selepas pilihan raya nanti saya akan melepaskan jawatan presiden. Biarlah pemimpin baru menerajui PPP. Saya boleh menjadi penasihat parti," katanya.

Tuesday, January 3, 2012

Azmin Beri Jaminan Perhimpunan Sokong Anwar 9 Januari Aman

Rabu Januari 4, 2012

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Gerakan para penyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk berhimpun menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari pengumuman keputusan kes liwatnya pada 9 Januari ini dijamin sebagai satu perhimpunan aman, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

“Kita juga memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang insiden yang tidak baik akan berlaku melainkan terdapat provokasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Azmin berkata, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia dan anggota-anggota parti untuk bersama-sama berhimpun pada hari berkenaan.

“Ini untuk meneruskan agenda kita dan tumpuan ialah memastikan rakyat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menghargai pimpinan dan rakan-rakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP untuk turut bersama-sama menggerakkan perhimpunan menyokong Anwar pada 9 Januari ini.

“PAS dan DAP memberi jaminan bahawa mereka akan bersama-sama (dalam perhimpunan) pada 9 Januari ini,” katanya.

Jelas beliau, gerakan itu bukan sekadar menunjukkan sokongan kepada Anwar tetapi persetujuan dalam pakatan adalah berdasarkan prinsip bahawa sistem yang ada sekarang perlu diperbaiki sama ada sistem ekonomi, kehakiman atau pendidikan.

“Kita yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (untuk melakukan perubahan itu),” katanya yang terdahulu menegaskan PR akan menggerakkan seramai 100,000 penyokong pada hari tersebut.

Monday, December 19, 2011

PM Lancar 1Malaysia TV

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sejarah media baru negara telah terukir hari ini dengan pelancaran televisyen Internet dan mobil pertama negara, 1Malaysia TV oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Televisyen interaktif yang boleh dilayari menggunakan telefon pintar dan tablet itu merupakan wadah dan sumber terbaharu bagi belia mendapatkan maklumat, berita dan mesej meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut.

Dengan melayari www.1malaysiaiptv.com.my atau www.erama.tv/mobiletv, pengguna boleh mengakses rangkaian saluran menarik seperti RTM1, RTM2, TV3, TV AlHijrah, My Youth TV (MyTV), CCTV1, e-Korea TV dan Documentary TV.

Penasihatnya, Datuk Md. Afendi Hamdan, berkata pelancaran saluran Internet itu adalah sejajar dengan galakan kerajaan dalam membawa gagasan 1Malaysia ke dalam media baru yang canggih merangkumi dunia Internet, peralatan komunikasi digital dan telefon mudah alih pintar.

“Lebih membanggakan Malaysia Book of Records (MBOR) turut mengiktirafkan 1Malaysia TV sebagai saluran media baru pertama yang berkonsep 1Malaysia.

“Ia bertepatan dengan cita rasa golongan muda yang mahukan maklumat terkini dengan lebih pantas selain mampu meletakkan negara pada kedudukan dalam kalangan yang terbaik.

“Ini kerana, penyebaran maklumat menerusi media baru ini mampu menjamin kebolehan media tempatan menyebarkan pengisian maklumat ke dunia yang lebih luas tanpa sempadan.

“Dunia media baru mampu mencapai sasaran terutamanya bagi golongan muda yang amat bergantung kepada Internet dan peralatan telekomunikasi mudah alih pintar dalam kehidupan seharian mereka,” katanya pada majlis Pelancaran 1Malaysia TV di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz serta pengarah filem Ahmad Idham.

Pada majlis berkenaan, Rosmah mendapat kejutan berupa sebuah kek sempena hari kelahirannya ke-60.

Tambah Md. Afendi, perkembangan pantas teknologi baharu yang telah mengubah cara hidup dan berfikir generasi masa kini kepada kehidupan yang serba canggih turut selari dengan pendekatan kerajaan selama ini.

“Justeru, bagi menyahut usaha-usaha kerajaan ini, kita wujudkan kesinambungan di antara segenap lapisan generasi yang berbeza agar masyarakat bergerak pada aliran masa yang sama dan tidak ketinggalan,” ujarnya.

Aplikasi 1Malaysia TV juga boleh dimuat turun melalui iTunes App Store bagi iPhone, Blackberry App World (Blackberry) dan Android Market (Android) secara percuma selama tiga hari iaitu bermula hari ini dan akan mengenakan bayaran RM3 selepas itu.


-UTUSAN-

Sunday, December 18, 2011

BN tidak 100 peratus sempurna tetapi lebih baik berbanding pakatan parti lain: Chor


Posted on December 17, 2011, Saturday

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) bukanlah sebuah parti yang 100 peratus sempurna tetapi ia jauh lebih baik daripada pakatan parti-parti politik yang lain.

Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung berkata ini terbukti dengan kejayaan BN mentadbir negara sejak merdeka dan pencapaiannya.

Bagaimanapun, katanya, prestasi cemerlang BN itu masih ada ruang untuk dipertingkatkan terutama dalam hal pentadbiran dan peningkatan.

“Kerana itu saya ingin tarik perhatian pengundi-pengundi Cina jika mereka tersalah pilih (pada pilihan raya), kehidupan rakyat Malaysia akan banyak berubah.

“Apa yang kita ada hari ini adalah hasil kerjasama, perpaduan semua kaum di negara ini. MCA telah pilih untuk bekerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN dan kami bekerjasama dengan baik dengan rakan seperjuangan kami,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Anggota Parlimen Alor Setar kepada KEMAS di Pejabat MCA Bahagian Alor Setar di sini, semalam.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews