Tuesday, December 20, 2011

Hospital Mansuh Caj RM1


Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

2011/12/20 
 
Warga tua 60 tahun ke atas tak perlu bayar ketika pendaftaran

KOTA BHARU: Mulai 1 Januari ini, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pengecualian caj pendaftaran pesakit sebanyak RM1 kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas, di Jabatan Pesakit Luar Am, semua hospital atau klinik kerajaan.

Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian, Wong Foong Lai, berkata pelaksanaan itu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang diumumkan dalam Bajet 2012 bertujuan menghargai jasa warga emas menikmati kemudahan awam terutama perkhidmatan kesihatan.
 
“Semua hospital dan klinik kerajaan dikehendaki melaksanakan pengecualian caj pendaftaran itu, sebagaimana ditetapkan mengikut Jadual A, Bahagian 1, Perintah Fi (Perubatan) 1982 kepada semua warga berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam Pekeliling Bahagian Kewangan, Bilangan 4 tahun 2011, yang dikeluarkan dalam laman sesawang kementerian, semalam.

Ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ baru-baru ini, Najib mengumumkan, semua warga berumur 60 tahun ke atas tidak perlu lagi membayar caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan.

Foong Lai berkata, bagi membolehkan pesakit menikmati pengecualian itu, mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu MyKad bagi membolehkan pihak klinik atau hospital terbabit membuat pengesahan.

“Bagi membolehkan pesakit terbabit mendapatkan perkhidmatan itu nanti, mereka perlu mengemukakan MyKad bagi membuat pengesahan kewarganegaraan dan umur berdasarkan tarikh lahir pesakit,” katanya.
Sementara itu, kementerian mengumumkan 60 klinik kesihatan melaksanakan waktu bekerja selepas waktu pejabat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, rakyat menyambut baik perkhidmatan yang mula dilaksanakan sejak 2008 itu, menyaksikan perkhidmatan dilanjutkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja, manakala hari Sabtu daripada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Kuala Perlis, Perlis; Alor Setar, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang; Taiping, Perak; Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Masjid Tanah, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor.

Turut dilanjut masa rawatan Klinik Kesihatan Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Kota Bharu, Kelantan; Miri, Sarawak dan Lahat Datu, Sabah

Monday, December 19, 2011

PM Lancar 1Malaysia TV

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sejarah media baru negara telah terukir hari ini dengan pelancaran televisyen Internet dan mobil pertama negara, 1Malaysia TV oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Televisyen interaktif yang boleh dilayari menggunakan telefon pintar dan tablet itu merupakan wadah dan sumber terbaharu bagi belia mendapatkan maklumat, berita dan mesej meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut.

Dengan melayari www.1malaysiaiptv.com.my atau www.erama.tv/mobiletv, pengguna boleh mengakses rangkaian saluran menarik seperti RTM1, RTM2, TV3, TV AlHijrah, My Youth TV (MyTV), CCTV1, e-Korea TV dan Documentary TV.

Penasihatnya, Datuk Md. Afendi Hamdan, berkata pelancaran saluran Internet itu adalah sejajar dengan galakan kerajaan dalam membawa gagasan 1Malaysia ke dalam media baru yang canggih merangkumi dunia Internet, peralatan komunikasi digital dan telefon mudah alih pintar.

“Lebih membanggakan Malaysia Book of Records (MBOR) turut mengiktirafkan 1Malaysia TV sebagai saluran media baru pertama yang berkonsep 1Malaysia.

“Ia bertepatan dengan cita rasa golongan muda yang mahukan maklumat terkini dengan lebih pantas selain mampu meletakkan negara pada kedudukan dalam kalangan yang terbaik.

“Ini kerana, penyebaran maklumat menerusi media baru ini mampu menjamin kebolehan media tempatan menyebarkan pengisian maklumat ke dunia yang lebih luas tanpa sempadan.

“Dunia media baru mampu mencapai sasaran terutamanya bagi golongan muda yang amat bergantung kepada Internet dan peralatan telekomunikasi mudah alih pintar dalam kehidupan seharian mereka,” katanya pada majlis Pelancaran 1Malaysia TV di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz serta pengarah filem Ahmad Idham.

Pada majlis berkenaan, Rosmah mendapat kejutan berupa sebuah kek sempena hari kelahirannya ke-60.

Tambah Md. Afendi, perkembangan pantas teknologi baharu yang telah mengubah cara hidup dan berfikir generasi masa kini kepada kehidupan yang serba canggih turut selari dengan pendekatan kerajaan selama ini.

“Justeru, bagi menyahut usaha-usaha kerajaan ini, kita wujudkan kesinambungan di antara segenap lapisan generasi yang berbeza agar masyarakat bergerak pada aliran masa yang sama dan tidak ketinggalan,” ujarnya.

Aplikasi 1Malaysia TV juga boleh dimuat turun melalui iTunes App Store bagi iPhone, Blackberry App World (Blackberry) dan Android Market (Android) secara percuma selama tiga hari iaitu bermula hari ini dan akan mengenakan bayaran RM3 selepas itu.


-UTUSAN-

Perkasa penyertaan media baharu


by Sandy Mark Luna. Posted on December 19, 2011, Monday

PERKASA MEDIA BAHARU: Taib melawat pameran pada majlis Sepetang Bersama AZAM sambil disaksikan oleh Morshidi (kiri) dan Aloysius (kanan).
Sebagai bentuk komunikasi baharu beri pandangan kepada golongan belia
 
KUCHING: Penyertaan media baharu perlu diperkasa sebagai satu bentuk komunikasi baharu dalam usaha memberikan pandangan yang seimbang terutama kepada golongan belia.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, memandangkan golongan muda seawal 13 tahun mula terdedah dengan dunia maklumat tanpa sempadan, mereka mudah terdedah kepada maklumat kurang tepat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, cara terbaik adalah kita (kerajaan) terlibat dan memainkan peranan dalam media baharu yang merupakan saluran komunikasi paling berkesan.

“Kita perlu belajar sesuatu yang baharu tentang cara mendekati dan berinteraksi dengan generasi muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sepetang Bersama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah AZAM Datu Aloysius Dris dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani.

Taib dalam pada itu menyeru AZAM dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) untuk mencari jalan agar dapat terus memberi maklumat sewajarnya kepada masyarakat, khasnya di peringkat akar umbi.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk berinteraksi dengan akar umbi kerana untuk membuatkan orang ramai bertindak balas kepada strategi pembangunan, ia memerlukan penerangan dan komunikasi yang banyak.

“Bagi kami (kerajaan), mendedahkan apa yang benar adalah yang terbaik, tidak harus mengambil pendirian menyebelahi mana-mana orang tertentu walaupun dalam kerajaan.

“Apabila kerajaan adalah salah, maka kerajaan salah, itu sahaja, tetapi kita perlu melihat analisis yang mencerminkan apa yang terbaik untuk rakyat dan mencari jalan meningkatkan penyertaan dalam pembangunan, khasnya generasi muda,” katanya.

Sunday, December 18, 2011

BN tidak 100 peratus sempurna tetapi lebih baik berbanding pakatan parti lain: Chor


Posted on December 17, 2011, Saturday

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) bukanlah sebuah parti yang 100 peratus sempurna tetapi ia jauh lebih baik daripada pakatan parti-parti politik yang lain.

Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung berkata ini terbukti dengan kejayaan BN mentadbir negara sejak merdeka dan pencapaiannya.

Bagaimanapun, katanya, prestasi cemerlang BN itu masih ada ruang untuk dipertingkatkan terutama dalam hal pentadbiran dan peningkatan.

“Kerana itu saya ingin tarik perhatian pengundi-pengundi Cina jika mereka tersalah pilih (pada pilihan raya), kehidupan rakyat Malaysia akan banyak berubah.

“Apa yang kita ada hari ini adalah hasil kerjasama, perpaduan semua kaum di negara ini. MCA telah pilih untuk bekerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN dan kami bekerjasama dengan baik dengan rakan seperjuangan kami,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Anggota Parlimen Alor Setar kepada KEMAS di Pejabat MCA Bahagian Alor Setar di sini, semalam.

PBB mempunyai mekanisme memilih calon pilihan raya


Posted on December 19, 2011, Monday

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai mekanisme tersendiri untuk memilih calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan tidak akan terpengaruh dengan budaya melobi.

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata, pucuk pimpinan negeri dan persekutuan tahu menilai calon yang sesuai untuk bertanding.

“PBB khususnya dan BN amnya ada mekanisme, tak perlu melobi kerana pemimpin (Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Pengerusi BN Persekutuan Datuk Seri Najib Tun Razak) tahu siapa yang benar-benar layak.

“Malah, mereka tahu calon mana yang memahami perjuangan dan ikhlas untuk memberi yang terbaik kepada rakyat bukan sahaja pada waktu tiba pilihan raya kerana mereka (calon) telah dinilai dari awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas perasmian penutupan Kursus Intensif Tilawah Al-Quran di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada beberapa pihak melobi untuk menjadi calon PRU kelak Fadillah berkata: “Itu perkara biasa yang berlaku bila tiba pilihan raya, ada yang nak melobi malah ada juga yang hendak menjatuhkan.”

Tambahnya, pelaksanaan calon boleh menang sudah lama dijalankan di Sarawak tetapi calon tersebut perlu memenuhi kriteria yang dikehendaki.

“Calon itu harus memahami perjuangan… membuat yang terbaik dan sanggup meletakkan rakyat di atas,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau merupakan salah seorang calon boleh menang, Fadillah berkata: “Mekanisma itu dah ada tetapi ketentuan itu saya letakkan kepada pucuk pimpinan parti negeri dan persekutuan.

“Kalau khidmat saya masih diperlukan saya memang bersedia memberi yang terbaik untuk masyarakat,” katanya.

Dr Jeffrey Kitingan Umum Penubuhan Pakatan Borneo Bersatu


16 Disember, 2011 21:24 PM

KOTA KINABALU, 16 Dis (Bernama) -- Presiden Barisan Borneo Bersatu (UBF) Datuk Dr Jeffrey Kitingan Jumaat mengumumkan pembentukan perikatan dengan Sabah dan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak dikenali sebagai Pakatan Borneo Bersatu yang akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Bekas naib presiden PKR itu membuat pengumuman berkenaan di sini dengan kehadiran Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) yang berpangkalan di Sarawak, Dr Dripin Anak Sakoi yang memegang jawatan itu selepas bekas president Dr Patau Rubis memegang jawatan pengerusi tetap parti.

Turut hadir presiden sementara parti USNO yang baru dipulihkan Datuk Badaruddin Tun Datu Mustapha dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Amde Sidik.

"Sabah dan Sarawak mempunyi kepentingan bersama. Kami rasa terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah perikatan sebagai platform untuk meneruskan agenda Borneo.

"Kami (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi rakan sepasukan dalam melindungi dan memelihara kepentingan dan hak rakyat di kedua-dua negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu pada sambutan ulang tahun pertama UBF.

Bagaimanapun Dr Jeffrey tidak menamakan platform bagi beliau dan penyokongnya tentang karier politiknya di sebalik spekulasi bahawa beliau akan membentuk cabang parti yang berpangkalan di Sarawak itu di Sabah.

Beliau juga berkata pembentukan perikatan itu adalah platform terbaik untuk memenangi tujuan itu dan menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Tumpuan kami sekarang adalah untuk mengukuhkan kepentingan Borneo dari perspektif tempatan," katanya.

Dengan kemunculan perikatan yang berpusat di Borneo, parti pemerintah BN akan berhadapan cabaran getir bukan hanya daripada Pakatan Rakyat, gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga Pakatan Borneo Bersatu di Sabah dan Sarawak.

Ditanya simbol baru perikatan itu pada PRU akan datang, Dr Jeffrey berkata: "Ia masih lagi belum ditetapkan, tetapi kami sedang mengusahakannya."

Perubahan UMNO Tidak Harus Dibayangi Pemimpin Pentingkan Diri Sendiri


17 Disember, 2011 15:52 PM

Oleh Mohd Noor Firdaus Mohd Azil

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Agenda transformasi yang dilaungkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus diperkatakan, namun soal menghayati aspirasi berkenaan di pihak anggota parti Melayu terbesar itu turut mendapat perhatian.

Beberapa perkara acapkali dibangkitkan Najib dalam memastikan hala tuju parti berada pada landasan tepat, termasuk memastikan hanya 'winnable candidates' saja bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, selain usaha meremajakan parti itu.

Namun, pemerhati politik melihat dalam kalangan segelintir pemimpin yang memegang jawatan seolah-olah wujud kerisauan akan kehilangan apa yang digenggam seandainya tidak tersenarai sebagai calon.

Menurut penganalisis politik Md Shukri Shuib, adalah perlu bagi pemimpin sebegini menginsafi dan membuat muhasabah diri serta tidak membelakangkan agenda sebenar Umno iaitu memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata perubahan Umno sangat diperlukan namun usaha ke arah itu akan dibayangi kewujudan pemimpin yang hanya mendepankan kepentingan diri sendiri.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata sikap segelintir pemimpin ini harus ditolak sama sekali kerana ia hanya akan menjadi parasit yang memusnahkan parti terbesar kaum Melayu itu daripada dalam.

"Kenapa bila kita bertanding kita nak menang, tapi bila orang lain kita nak tengok dia kalah? Ini seolah-olah menunjukkan orang itu cuba membakar sekolah sendiri tempat dia menimba ilmu, dan tidak mahu memberi peluang kepada orang lain.

"Umno ni berjuang demi agama, bangsa dan negara serta merupakan tunjang belakang pengurusan Malaysia...Jangan dirosakkan perjuangan itu, ditukar kepada perjuangan aku dan diri sendiri," katanya.

Md Shukri berkata pemimpin sebegini sepatutnya menjadi mentor kepada generasi baru yang bakal mewarnai arena politik negara kerana gabungan tenaga dan idea dua generasi itu akan memantapkan serta memberi imej lebih segar kepada parti tersebut.

"Generasi pelapis harus dilatih serta didedahkan dengan pengalaman oleh pemimpin terdahulu. Kita tak boleh anggap hanya orang muda sahaja sebagai aset, kerana walaupun pemikiran mereka lebih kritikal, tetapi tanpa pengalaman ia tidak akan lengkap," katanya.

Menyokong kenyataan tersebut, seorang lagi pemerhati politik, Khairuddin Mohd Zain berpendapat peremajaan Umno tidak bermaksud faktor umur muda sahaja menjadi kriteria kerana ia turut bererti penampilan muka-muka baru yang bebas daripada unsur yang boleh memudaratkan parti secara amnya.

"Bila kita kata peremajaan Umno, dia tak merujuk kepada remaja daripada sudut umur. What can be more influential ialah orang yang tak ada 'political baggage' tidak dicemari dengan isu yang boleh mencalarkan imej parti.

"Mesej presiden cukup jelas; mendepankan 'winnable candidate' bermaksud mengurangkan wajah-wajah yang mempunyai masalah serta berisiko menjadi liabiliti kepada parti serta mendahulukan wajah-wajah lebih telus, mempunyai integriti serta disenangi rakyat," kata anggota Jawatankuasa Alumni Universiti Islam Antarabangsa itu.

Ditanya mengenai sikap pemimpin yang mungkin kecewa sekiranya tidak dicalonkan, Khairuddin berkata rakyat sendiri akan menilai keikhlasan individu tersebut.

"Masyarakat kita makin terdidik, dan orang-orang macam ini akan alami masalah dengan credibility sendiri. Bila dia marah orang sebab dia tak dapat something, that shows that you're not sincere," katanya.

Menurut Khairuddin masalah utama Umno sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah parti itu dilihat kurang menitikberatkan usaha melahirkan pelapis kepimpinan yang baru.

Namun, beliau merasakan Najib sudah berjaya mengawal keadaan tersebut dengan gaya kepimpinannya tersendiri.

"Najib has a clear picture of what he's going to do tetapi jika segelintir pemimpin akar umbi masih sibuk tentang siapa patut pegang jawatan, rasa tercabar kalau ada orang lain lebih menonjol, ini hanya akan menunjukkan kepada masyarakat bahawa akar umbi tidak mendokong aspirasi kepimpinan tertinggi," katanya.

Khairuddin merasakan PRU akan datang merupakan medan terbaik untuk Umno mengketengahkan invidividu berwibawa, berkredibiliti, ada idealisme dan mampu mendekati rakyat.

"PRU kali ini menjadi window untuk Umno menukar atau mencari sistem nilai baru yang sesuai dengan keadaan. Kerana mereka harus sedar masyarakat, khususnya orang muda, lebih menghargai kepimpinan yang telus serta adil," katanya.

Seorang anggota Pemuda Umno, Mohamad Nazmi Zaidi Moni menganggap kerjasama erat antara golongan lama dan baru sangat diperlukan bagi memastikan kesinambungan parti.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Seri Setia Lembah Keramat itu menarik perhatian bahawa pengalaman dan tunjuk ajar orang lama masih diperlukan dalam menghadapi sepak terajang politik.

"Golongan muda sekarang lebih kritis dalam berfikir tetapi kekurangan mereka ialah semangat yang dirasai golongan terdahulu yang telah bersama Umno sejak sekian lama, ketika zaman sebelum dan selepas kemerdekaan.

"Bagi memastikan semangat yang diperjuangkan parti berterusan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin yang ada mendidik dan mengasuh golongan muda, bukannya mencantas dan menutup peluang," tegasnya.

-- BERNAMA

Taib bayangkan pembahagian kerusi Parlimen Sarawak kekal pada PRU


Posted on October 18, 2011, Tuesday

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan pembahagian kerusi Parlimen di Sarawak akan dikekalkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri semalam, Taib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memberitahu, Sarawak tidak terjejas dengan proses penyelarasan formula pembahagian kerusi pilihan raya yang diguna pakai sekarang.

“Saya rasa kita tidak mempunyai banyak perubahan di Sarawak dari segi peruntukan kerusi.

“Apa yang dirujuk oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) itu mungkin atas cadangan beberapa parti dalam BN untuk bertukar kerusi, demi menghasilkan keputusan (pilihan raya) lebih baik.

“Jadi, mereka ada meng-kajinya sementara kita (BN Negeri) tidak pernah mengkaji apa-apa kerana tidak menjejaskan kita,” katanya.

Jelasnya, proses itu berkemungkinan hanya akan dijalankan di Semenanjung Malaysia sahaja berdasarkan cadangan beberapa parti komponen BN di sana.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Sarawak akan turut menjalani proses penyelarasan kepada formula pembahagian kerusi pilihan raya.

BN Negeri dibahagikan kepada empat komponen dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu diperuntukkan 14 kerusi parlimen, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (lima) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (empat).

Laporan akhbar semalam menyiarkan Najib yang juga pengerusi BN Pusat memberitahu, penyelarasan itu perlu bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat sama ada telah berlaku perubahan politik dinamik.

“Formula pembahagian kerusi dibuat pada 2004 dan dipakai pada 2008. PRU ini kita kena tengok sama ada berlaku perubahan politik dinamik yang menyebabkan kita perlu penyelarasan.

“Kita akan runding dengan pemimpin-pemimpin parti BN untuk mencari formula terbaik pembahagian kerusi,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Najib menambah: “Kita tidak akan rombak segala-galanya, tapi buat pelarasan pada tempat-tempat yang kita rasa perlu.”

Ahli Politik Dan Pegawai Kerajaan Digalak Guna Laman Sosial

18 Disember, 2011 16:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Ahli politik dan pegawai kerajaan perlu mengadaptasi kemudahan media sosial untuk merapatkan diri dengan rakyat berikutan wujudnya permintaan yang tinggi untuk maklumat di dalam negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdasarkan satu kajian, rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata sembilan jam sehari untuk berinteraksi secara 'online' melalui Twitter, Friendster, Facebook serta Myspace dan mereka juga tersenarai sebagai pengguna yang meluangkan masa paling lama menggunakan media sosial.

"Permintaan untuk maklumat begitu tinggi di kalangan masyarakat dan sebab itu komunikasi dengan rakyat perlu menggunakan pelbagai kaedah tambahan, tidak semestinya pakai media rasmi, tetapi perlu babitkan media sosial sebagai tools of engagement (alat komunikasi) terutama orang politik dan mereka yang terlibat dalam pentadbiran," katanya semasa berucap melancarkan 1Malaysia TV di sini, pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Perdana Menteri berkata kemudahan media sosial membolehkan penggunanya membuat penilaian di atas apa-apa isu dengan segera.

Najib sendiri, yang agak rajin berinteraksi menerusi 'Twitter', mengakui beliau sentiasa mendapat respons langsung daripada rakyat Malaysia yang mengikuti laman sosial beliau.

Mengakui hakikat kemudahan media sosial mempunyai kebaikan dan kelemahan, Perdana Menteri berkata kebaikannya ialah pengguna dapat berinteraksi secara langsung dengan rakyat yang sebelum ini tidak pernah berlaku seperti pada zaman ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abduk Razak Hussein dan zaman itu rakyat agak sukar untuk mendapatkan maklumat.

"Mereka mendapat maklumat daripada beberapa sumber rasmi sahaja tetapi hari ini pelbagai sumber menyalurkan maklumat dapat diakses malah kalau kita tidak memberi sesuatu maklumat mereka akan dapat maklumat itu daripada sumber-sumber lain.

Apabila wujudnya vakum seperti ini, mereka akan mendapatkan daripada sumber-sumber lain dan adakalanya sumber yang lain itu dicampur aduk dengan cerita dongeng atau rekaan termasuk berita palsu dan fitnah," katanya.

Najib berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali bertindak cepat untuk memberi maklumat kepada rakyat dan jika boleh, melakunya pada masa sebenar.

Inilah realiti keadaan masyarakat hari ini dan untuk menawan hati generasi muda, kerajaan perlu menggunakan bahasa yang mereka pakai dan bahasa mereka adalah teknologi, katanya.

"Satu-satunya bahasa yang mereka fahami ialah teknologi," katanya.

Beliau berkata perkembangan teknologi hari ini berkembang dengan pantas dan kelahiran media baru telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat.

Katanya majalah TIME pernah menggelarkan Malaysia sebagai negara pengguna telekomunikasi telefon selular yang paling banyak penggunanya iaitu pada kadar 124.7 untuk 100 penduduk atau pun setiap seorang mempunyai lebih daripada satu telefon bimbit.

Najib mengimbas zaman ketika beliau menjadi Menteri Besar Pahang, yang menyaksikannya menggunakan telefon bimbit model Motorola yang agak besar saiznya tetapi hari ini perkembangan teknologi telefon bimbit amat mengkagumkan.

"Bila saya buat ibadat haji, rakaman ucapan Aidiladha yang saya buat di padang Arafah dirakam daripada Iphone saya sendiri dan dihantar ke stesyen TV dan malam itu dipancarkan tanpa mengguna khidmat jurukamera RTM atau TV3," katanya.

1Malaysia TV adalah siaran televisyen secara talian yang dimajukan oleh 1MediaIPTV Sdn Bhd yang boleh ditonton melalui telefon pintar, komputer tablet dan juga komputer riba.

Saluran yang mendapat pengiktirafan 'Malaysia Book of Records' sebagai media baru pertama berkonsepkan 1Malaysia itu menyediakan siaran daripada rangkaian RTM1, RTM2, TV3, TV Al Hijrah, My Youth TV, CCTV 1, E-Korea TV, Erama Music, Erama Documentary TV dan KLPOP Online Radio Streaming.

Orang ramai boleh menonton siaran televisyen itu di laman www.1Malaysiaiptv.com atau www.erama.tv/mobiletv.

Untuk pengguna telefon pintar seperti Iphone, Blackberry dan Android, mereka boleh memuat turun aplikasi televisyen tersebut melalui stor aplikasi telefon masing-masing.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews