Friday, March 30, 2012

Sukar Untuk Ramal Keputusan Pilihan Raya: Dr Mahathir


PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan".

Beliau berkata pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.

"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap utama bertajuk 'Bahasa - Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu' pada Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa di sini.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris bukan bermaksud seseorang itu perlu melupakan bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa.

"Bahasa Melayu mesti terus dipupuk kerana mungkin satu hari nanti ia akan menjadi bahasa ilmu tetapi hakikatnya ketika ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris, jadi kita perlu menguasainya," kata beliau.

Dr Mahathir berkata peranan bahasa di zaman moden ini juga bukan sekadar menjadi penentu identiti sesuatu bangsa tetapi juga untuk menjadikan bangsa itu sebagai bangsa terpelajar.

--BERNAMA

Monday, March 26, 2012

Luar bandar kekayaan Sarawak

by Sandy Mark Luna. Posted on March 27, 2012, Tuesday
SIMBOLIK PERASMIAN: Taib (empat kiri) dan Ragad (empat kanan) bersama (dari kiri) Masing, Empiang, Jabu, Uggah, Morshidi dan Chuat memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-10 Betong Diisytiharkan menjadi Bahagian Ke-11, semalam.
BETONG: Ekonomi negeri mampu dijana ke tahap lebih tinggi hasil potensi luar bandar: Taib.

Kerajaan akan memberi lebih banyak tumpuan kepada luar bandar memandangkan kawasan itu mempunyai potensi lebih besar untuk menggerakkan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu, kawasan luar bandar yang luas di negeri menjanjikan prospek amat cerah berikutan kekayaannya dari segi sumber asli dan tanah yang perlu diterokai untuk tujuan pembangunan.

Menjadikan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai contoh, katanya, kawasan itu yang dahulunya sangat mundur bakal menjana berbilion-bilion ringgit bukan sahaja untuk negeri ini, tetapi juga negara.

“Mereka yang tidak memahami perkara ini, harus cuba memahaminya kerana potensi lebih besar untuk Sarawak datang dari kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, penduduk Sarawak perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk memainkan peranan dalam ‘polisi mengejar pembangunan’ (catch-up plan) bagi memastikan matlamat untuk mengangkat ekonomi kita mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Betong Diisytiharkan menjadi Bahagian Ke-11 di Sarawak, di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini semalam.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas, dan Residen Betong Datu Romie Sigan, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Taib berkata, pembangunan yang dirancang kerajaan tidak akan dapat tercapai sekiranya penduduk Sarawak tidak menyesuaikan diri dengan kehendak pembangunan.

Menurutnya, sebab itulah latihan teknikal diberi penekanan khasnya dalam kalangan generasi muda memandangkan SCORE memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dari segi teknikal.

Justeru, ujarnya, para pelajar perlu menyahut seruan kerajaan untuk menceburi bidang teknikal yang akan menjanjikan pulangan yang lumayan pada masa hadapan.

“Pelan ‘mengejar membangunan ini’ lebih bergantung kepada rakyat daripada kerajaan kerana anda perlu menyediakan diri untuk menghadapi keperluan-keperluan dalam meningkatkan ekonomi negeri,” katanya

Sunday, March 25, 2012

Usah termakan auta pembangkang: Najib

HAMIZAH BASIR
25 Mac 2012
Usah termakan auta pembangkang: Najib
PORT DICKSON – Rakyat dinasihatkan jangan terpengaruh auta pembangkang yang mahu menggugat keyakinan pada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang akan mencari isu, sama ada ada fakta atau tidak kerana pilihan raya semakin hampir.

“Rakyat mesti bezakan antara fakta dan auta. Saya lihat banyak yang diutarakan pembangkang bukan fakta tetapi auta, kalau lebih banyak auta daripada fakta, kita tidak boleh pakai orang yang banyak membawa auta daripada fakta. Kerajaan BN tak cari populariti semata-mata.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kita berikan, mereka tuduh duit haram, kita pinjam bank dunia dan ia rasuah politik. Tiga tuduhan ini dilemparkan kepada kita, tapi bila kita buka kaunter BRIM, pembangkang terpacul untuk dapat bantuan, kadang-kadang dia lebih awal daripada penyokong BN.

“Kalau kata duit haram, nak beli rasuah politik, janganlah terima daripada kerajaan. Muka tak malu, muka tebal. Ini yang kita kata ‘auta belit’,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Perdana 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, semalam, sempena lawatan sehari beliau ke Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan pimpinan BN berdiri atas fakta di mana telah mengurus tadbir negara dengan baik dan memulangkan hasilnya kepada rakyat.

Monday, March 19, 2012

Pemuda PBB perkenal ‘Armada Pemuda’


by Mahathir Haroun. Posted on March 18, 2012, Sunday

Program berkonsep misi kemanusiaan giatkan pemimpin muda PBB turun padang

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan satu program khas yang dikenali ‘Armada Pemuda’ berkonsepkan misi kemanusiaan bermula selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Ketuanya, Datuk Fadillah Yusof berkata, program berkenaan akan dijalankan di 10 zon bermula dari Kuching hingga ke Lawas dalam usaha menggiatkan penglibatan pemimpin muda untuk turun padang.

“Ini adalah pendekatan yang digunakan kita untuk membolehkan semua exco Pemuda memahami denyut nadi rakyat, permasalahan dan apa yang perlu kita lakukan.

“Kita memberi sumbang bakti kepada rakyat dengan merapatkan diri dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda PBB Peringkat Negeri di sini, semalam.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pendekatan yang digunakan itu juga akan membolehkan Pemuda PBB lebih memahami kehendak rakyat secara mendalam.

Menurutnya, pengisian program merangkumi khidmat masyarakat, rekreasi, sumbangan dan pendidikan.

“Pada masa sama, kita berharap untuk membawa agensi kerajaan untuk bersama-sama di pangkalan yang dikenal pasti bagi pelaksanaan program.

“Ini penting agar agensi terbabit dapat memberi maklumat kepada rakyat terutama di luar bandar tentang bantuan yang disediakan kerajaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu membabitkan kilang pemproses nadir bumi Lynas Corporation di Gobeng, Pahang, Fadillah menjelaskan, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengendalikan pendengaran awam untuk menyelesaikan isu terbabit.

Menurutnya, laporan daripada pendengaran awam akan dibentangkan kepada Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan prihatin tentang keselamatan rakyat. Sebelum memulakan operasi, kilang ini sudah diperiksa pakar antarabangsa.

“Ia mengikut standard antarabangsa, cuma ada pihak yang cuba memutar belit fakta,” jelasnya.

Beliau berkata, golongan anti-Lynas sepatutnya mengetahui fakta sebelum membuat sebarang dakwaan yang sengaja memburuk-burukkan kerajaan.

“Kalau mahu butiran lanjut, buat perjumpaan dengan pakar kerajaan bersama pakar mereka,” kata Fadillah.

Isu berkenaan mula menjadi perbualan hangat, apabila syarikat Australia didakwa gagal memberikan butiran lengkap berhubung pengurusan sisa buangan yang mereka akan hasilkan daripada kilang pemprosesan nadir bumi.

Saturday, March 10, 2012

Berdamai Boleh, Tapi Tidak Menerusi Jalan Pintas, Kata Ketua SPDP





KUCHING, 10 Mac (Bernama) -- Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sedia berdamai dengan lima wakil rakyat, yang telah dipecat atau meninggalkan parti itu, demi kepentingan Barisan Nasional (BN) dan parti, kata presidennya, Tan Sri William Mawan.

Mawan berkata beliau bersetuju dengan hasrat Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud agar kelima-lima mereka kembali ke dalam parti, namun proses itu tidak harus mengetepikan syarat-syarat asas parti dan BN.

"Jika kita mengikuti jalan pintas untuk menyelesaikannya, maka kita akan berdepan dengan masalah lebih besar. Ia seperti lari dari mulut buaya masuk ke mulut harimau," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti di sini.

Taib, yang juga pengerusi BN Sarawak, semalam mencadangkan agar kelima-lima mereka -- Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, dan Adun-adun Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau) -- diberikan masa untuk berdamai dengan SPDP.

Taib berkata mereka tidak harus ditinggalkan bersendirian kerana mereka tetap setia kepada BN sekalipun tidak lagi menjadi anggota SPDP, yang merupakan parti komponen BN negeri.

-- BERNAMA

Saturday, March 3, 2012

Hulu Rajang, Kawasan Parlimen Terbesar Perlukan Wakil Rakyat Hebat


Oleh Edward Subeng Stephen

KAPIT, 2 Mac (Bernama) -- Kawasan Parlimen Hulu Rajang, yang berkeluasan 31,817 km persegi, merupakan kawasan pilihan raya terbesar di negara ini yang secara fizikal keluasannya hampir sama dengan negeri Pahang.

Mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balleh dan Belaga, Parlimen Hulu Rajang merupakan kawasan yang sangat mencabar daripada segi bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan untuk sampai ke sana.

Natijah kawasan sebegitu luas dan kemudahan untuk mendekatinya yang masih ketinggalan berbanding kawasan lain di negara ini memerlukan wakil rakyat yang hebat dan sanggup menghadapi cabaran luar biasa.

Hakikat ini pastinya memberi jawapan mengapa Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo tampak keletihan ketika menghadiri satu majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangau, dekat Sibu baru-baru ini.

Pembantu beliau, Kennedy Chuk berkata ini kerana Abit telah menjelajahi ke hulu ke hilir mengedarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat di kawasannya selain melaksanakan rutin lain.

Kawasan Parlimen Hulu Rajang mempunyai 18,701 pengundi berdaftar yang terdiri sebahagian besar seramai 10,875 kaum Iban dan 7,255 Orang Ulu.

Orang Ulu pula merupakan kumpulan suku etnik Kayan, Kenyah, Penan dan Kajang (yang terbahagi pula kepada subetnik Skapan, Punan, Lahanan, Kejaman dan Sihan). Baki pengundi lain terdiri daripada kaum Cina yang kebanyakannya berniaga dan kaum Melayu di sekitar pekan Belaga.

Hulu Rajang merupakan lokasi penjana tenaga terbesar di Bumi Kenyalang dengan Empangan Hidroelektrik Bakun bernilai RM7 bilion dan akan datang Empangan Hidroelektrik Murum yang berharga RM3 bilion, dengan kedua-duanya terletak di daerah Belaga.

Kawasan Parlimen Hulu Rajang yang masih dahagakan pembangunan memerlukan wakil rakyat yang mampu menghadapi cabaran luar biasa dan berupaya untuk memberikan khidmat tidak berbelah-bahagi kepada masyarakat rumah panjang di pedalaman.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, pemimpin tempatan yang berhasrat menjadi calon pasti mahu membuktikan bahawa mereka adalah calon yang boleh menang.

Bagi Abit, yang berketurunan Kayan daripada Skim Penempatan Semula Sungai dan merupakan bekas pegawai pendidikan, yang sudah menjadi mewakili Hulu Rajang sejak 1990, berasa gembira kerana masih sihat dan gagah untuk berkhidmat dan mahu diberi peluang sekali lagi.

Beliau tidak berasa hairan apabila kerusi disandangnya diintai pemimpin lain yang mahu menjadi calon pada setiap kali menjelang pilihan raya.

Kali ini, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Balleh, Wilson Ugak Kumbong, 49, berketurunan Iban, disebut-sebut berminat untuk menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Alasannya adalah kerana Abit, 63, telah menyandang jawatan begitu lama dan sudah tiba masanya bagi Abit memberikan peluang kepada pemimpin muda dan kaum Iban untuk melakukannya.

Ugak, yang merupakan setiausaha sulit kepada Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing, berpendapat beliau juga seorang calon boleh menang berasaskan kekuatannya sebagai seorang Iban manakala isterinya yang berketurunan Punan berasal dari penempatan di Belaga.

Namun begitu, Chuk yang merupakan pengerusi PRS Bahagian Belaga, berkata Abit masih seorang calon boleh menang dan kedudukannya masa ini amat baik terutamanya di kalangan Orang Ulu, dan beliau begitu prihatin terhadap masyarakat Penan dan kebajikan mereka.

"Kita lebih memerlukan beliau pada masa ini. Kita bercakap mengenai peluang perniagaan dan pelancongan hasil pembangunan Empangan Hidroelektrik Bakun dan Murum. Tiada siapa lebih baik daripada Abit untuk memimpin kami. Bukanlah suatu kesalahan jika beliau sudah menyandangnya selama lima penggal," katanya.

Dalam satu kisah menaik lain, Abit merupakan seorang daripada 'Tiga Abdul Dari Sarawak' di Parlimen yang kawasan masing-masing saling berkaitan dan berhampiran. Dua lagi 'Abdul' ialah Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Istilah 'Tiga Abdul' ini diberikan rakan sejawatan mereka kerana nama mereka bermula daripada huruf A.

"Ini bukanlah sangat kerana gelagat kami tetapi kerana kesungguhan dan konsistensi kami dalam mengemukakan idea-idea pembangunan di kawasan Parlimen kami yang saling berkaitan," kata Nanta dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Pencapaian jelas adalah kelulusan kerajaan untuk membina jalan raya yang menghubungkan Kapit ke Kanowit dan sekarang giat dilaksanakan dari Kapit ke Song, dan dari Kanowit ke Song.

Menerusi jalan ini, orang ramai masih boleh ke Kapit walaupun selepas perkhidmatan bot laju terakhir berlepas dari Sibu pada 2.30 petang atau dari Kapit pada pukul 3.15 petang.

Nanta optimis jalan penghubung ini akan menjana lebih banyak pembangunan infrastruktur dan pertanian serta memberi manfaat kepada ketiga-tiga kawasan.

-- BERNAMA

Friday, March 2, 2012

Inisiatif Kerajaan Bertepatan Konsep Negara Madinah – PM



KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan masyarakat berbilang bangsa di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras kepada kejayaan agenda transformasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu, pelbagai inisiatif mesra rakyat yang bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana diasas Rasulullah SAW telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan.

Antaranya jelas beliau, kerajaan mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia; Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA); dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Selain itu, katanya, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia; Baucar Buku 1Malaysia (BB1M); Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) turut diwujudkan.

“Semua inisiatif ini bertepatan dengan konsep negara Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya sempena perutusan Maulidur Rasul di blognya, http://www.1Malaysia.com.my, hari ini.

Mengimbau kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW, Najib berkata, Rasulullah telah berjaya membawa transformasi kepada ummah melalui kasih sayang dan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan mereka.

Tambahnya, hasil dakwah itu akhirnya muncul satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah dan ia bertepatan dengan tema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ untuk tahun ini, dalam usaha kerajaan menjayakan agenda transformasi.

Menyentuh mengenai persefahaman asas perpaduan, Perdana Menteri berkata, nilai itulah yang beliau ketengah melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan.

“Sememangnya keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi hari ini menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua,” katanya.
-Utusan

Kuatkan Ekonomi Bumiputera


PUTRAJAYA 9 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lima lagi pendekatan baru sebagai inisiatif untuk membantu memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Pendekatan baru itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputra (MTAB) yang dipengerusikan beliau di sini yang antara lain bersetuju supaya bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.

”Syarikat-syarikat ini telah melalui proses penilaian dan penarafan. Dan kita sudah tentukan syarikat ini ada potensi untuk berkembang lebih maju dan jumlah hasil syarikat tersebut dalam lingkungan RM5 bilion.

”Konsepnya bukanlah kita janjikan setiap syarikat ini semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTAB di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Perdana Menteri berkata, selain itu, mesyuarat bersetuju untuk mempelawa syarikat-syarikat bumiputera mengguna pakai aplikasi yang dibangunkan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

Seterusnya, kata beliau, majlis turut memutuskan supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri berkata, keputusan juga dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

”Dan mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera,” jelas beliau.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut memberitahu bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera menyasarkan peningkatan perolehan dana dari RM158 juta kepada RM500 juta untuk membiayai pendidikan pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

”Kita juga mahu beri nilai tambah kepada bumiputera yang lulus dalam perakaunan di peringkat sarjana muda tetapi tidak meneruskan pengajian untuk kelulusan iktisas profesional, justeru melalui yayasan ini kita akan bantu mereka menaik taraf kelulusan sebagai profesional,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Raja Azura Raja Mahayuddin sebagai Ketua Eksekutif yayasan tersebut dan akan memulakan tugas pada 14 Februari ini

Mengulas tindakan kerajaan ekoran krisis ekonomi yang melanda benua Eropah, Najib berkata, kerajaan akan memantau perkembangan semasa sebelum membuat keputusan sama ada akan mengkaji semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara atau sebaliknya.

-Utusan

Thursday, March 1, 2012

Najib Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari


KOTA BAHARU, 2 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini pagi Jumaat untuk lawatan kerja sehari ke tiga daerah di Kelantan.

Perdana Menteri tiba pada 9.25 pagi sebelum menaiki helikopter untuk menghadiri majlis ramah mesra bersama anggota tentera Rejimen Sempadan dan keluarga mereka di Batu Melintang, Jeli, selain menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Di Pasir Mas, beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Hutan Chengal, dan menemui pengetua dan guru-guru di kawasan Parlimen berkenaan serta menghadiri jamuan rakyat di Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas.

Seterusnya, Perdana Menteri akan menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan ramah mesra bersama profesional Kelantan di Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab, Kota Baharu.

Pada sebelah malam, Najib dijadual menghadiri majlis bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional negeri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews