Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

Sunday, February 12, 2012

Kerajaan Yakin Bantuan RM100, BR1M Diteruskan Jika Ekonomi Berkembang Pesat

Ahad Februari 12, 2012

IPOH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) berkeyakinan dapat menyalurkan bantuan persekolahan RM100 dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 pada setiap tahun sekiranya ekonomi mencatatkan pertumbuhan pesat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata bantuan secara berterusan dapat dilaksanakan sekiranya rakyat terus memberi kepercayaan terhadap BN untuk terus memerintah negara ini.

"Tak menjadi masalah (beri bantuan setiap tahun), kalau keadaan ekonomi kita tumbuh dengan pesat dan kita berpeluang untuk memerintah negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadikan bayaran RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah dan elaun RM100 kepada semua pelajar sekolah sebagai satu program tahunan.

Terdahulu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merasmikan program seminar transformasi keusahawanan Mara di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, Shafie berkata bantuan yang diberikan kerajaan itu tidak mengira kaum sebagai usaha membantu rakyat golongan miskin.

"Ini (bantuan) bukan bermotifkan politik, kita beri bantuan kepada rakyat yang berhak menerimanya. Lagipun duit kerajaan mencukup untuk biayai skim ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai kelewatan rakyat di Sabah menerima bantuan BR1M, Shafie berkata ia tidak dapat dielakkan berikutan kawasan yang sepatutnya menerima bantuan itu terletak di kawasan pedalaman.

"Kawasan (yang terima bantuan) jauh bukan mudah untuk bawa jumlah wang yang besar bawa ke tempat yang terpencil. Bagaimanapun kita akan laksanakan dan diharap penerima dapat bersabar," katanya.

Tambahnya lagi, bantuan itu akan disalurkan kepada mereka yang layak sehingga April depan dan rayuan masih terbuka bagi pemohon yang gagal terpilih menerima wang tunai RM500. - BERNAMA

Wednesday, January 25, 2012

Anwar Hanya Tabur Janji Kosong Untuk Raih Sokongan Rakyat Sabah, Kata Musa


KOTA KINABALU. 24 Jan (Bernama) -- Pelbagai janji yang ditabur oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Sabah termasuk menaikkan pemberian royalti minyak sehingga 20 peratus dianggap sebagai janji kosong yang sengaja digembar-gemburkan semata-mata untuk meraih sokongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sudah menjadi lumrah bagi parti pembangkang menabur pelbagai janji apatah lagi menjelang pilihan raya umum.

"Ini kerja pembangkang... mereka menjanjikan apa saja bulan dan bintang kerana mereka tahu mereka tidak memerintah dan mereka bukan kerajaan.

"Semua janji ini adalah janji palsu. Saya percaya rakyat Sabah tahu janji ini adalah janji yang tidak boleh ditepati," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, dekat sini Selasa.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Anwar berhubung perkara itu pada majlis Rumah Terbuka PKR di Dewan Kian Kok, Likas, dekat sini semalam.

Beliau berharap rakyat Sabah tidak mudah terpedaya dengan janji manis parti pembangkang untuk meraih sokongan.

"Saya percaya rakyat kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk. Mereka tahu kerajaan BN adalah pilihan yang terbaik kerana BN sentiasa mengotakan janji," katanya.

Sambil memberi contoh pemberian bantuan RM100 untuk pelajar sekolah, bantuan buku RM200 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 bagi mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, Musa berkata ini membuktikan kerajaan BN benar-benar mengotakan janjinya "tidak seperti parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong".

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina, beliau berkata ia merupakan landasan terbaik untuk memantapkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai suku kaum.

"Amalan saling mengunjungi ke rumah-rumah terbuka adalah baik untuk menyemai semangat persaudaraan dan kekitaan dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita termasuk di Sabah," katanya.

Sunday, December 18, 2011

Dr Jeffrey Kitingan Umum Penubuhan Pakatan Borneo Bersatu


16 Disember, 2011 21:24 PM

KOTA KINABALU, 16 Dis (Bernama) -- Presiden Barisan Borneo Bersatu (UBF) Datuk Dr Jeffrey Kitingan Jumaat mengumumkan pembentukan perikatan dengan Sabah dan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak dikenali sebagai Pakatan Borneo Bersatu yang akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Bekas naib presiden PKR itu membuat pengumuman berkenaan di sini dengan kehadiran Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) yang berpangkalan di Sarawak, Dr Dripin Anak Sakoi yang memegang jawatan itu selepas bekas president Dr Patau Rubis memegang jawatan pengerusi tetap parti.

Turut hadir presiden sementara parti USNO yang baru dipulihkan Datuk Badaruddin Tun Datu Mustapha dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Amde Sidik.

"Sabah dan Sarawak mempunyi kepentingan bersama. Kami rasa terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah perikatan sebagai platform untuk meneruskan agenda Borneo.

"Kami (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi rakan sepasukan dalam melindungi dan memelihara kepentingan dan hak rakyat di kedua-dua negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu pada sambutan ulang tahun pertama UBF.

Bagaimanapun Dr Jeffrey tidak menamakan platform bagi beliau dan penyokongnya tentang karier politiknya di sebalik spekulasi bahawa beliau akan membentuk cabang parti yang berpangkalan di Sarawak itu di Sabah.

Beliau juga berkata pembentukan perikatan itu adalah platform terbaik untuk memenangi tujuan itu dan menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Tumpuan kami sekarang adalah untuk mengukuhkan kepentingan Borneo dari perspektif tempatan," katanya.

Dengan kemunculan perikatan yang berpusat di Borneo, parti pemerintah BN akan berhadapan cabaran getir bukan hanya daripada Pakatan Rakyat, gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga Pakatan Borneo Bersatu di Sabah dan Sarawak.

Ditanya simbol baru perikatan itu pada PRU akan datang, Dr Jeffrey berkata: "Ia masih lagi belum ditetapkan, tetapi kami sedang mengusahakannya."

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews