Wednesday, April 17, 2013

Aku Janji BN Sarawak Untuk Kepentingan Rakyat Sarawak #BetterNation #UndiBN #SokongNajib #1Malaysia

Manifesto yang dilancarkan semalam adalah sebahagian daripada aku janji berterusan kepimpinan Barisan Nasional Sarawak untuk membela nasib rakyat Sarawak.  Ianya bukan dongengan seperti yang berlaku di negeri pemerintahan pembangkang.  

Pihak pembangkang sedar mereka gagal menunaikan manifesto mereka berbanding dengan Najib Razak yang berjaya membawa Malaysia melangkah maju sebaris dengan negara membangun yang lain.  Cuma 4 tahun dan Malaysia sudah boleh berdiri segak.  Bayangkanlah apa yang dapat dicapai dengan 5 tahun lagi?
Manifesto BN Negeri fokus keperluan rakyat Sarawak
 
Utusan Borneo 18 April  2013, Khamis

KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri disifatkan lebih mendalam dan menekankan tentang keperluan sebenar rakyat di negeri ini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, malah segala perkara yang dinyatakan dalam manifesto yang dilancarkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam ternyata amat relevan kepada rakyat Sarawak khasnya penduduk luar bandar.

“Misalnya, transformasi luar bandar yang merangkumi penyediaan rangkaian jalan raya, bekalan elektrik dan air, selain khidmat kesihatan kepada penduduk luar bandar adalah perkara yang kita tekankan.

“Bagi saya manifesto BN negeri lebih terperinci dengan isu-isu tertentu kerana kita tidak menyentuh perkara yang bukan di luar bidang kita seperti kewangan dan sebagainya, tetapi kita menekankan perkara yang relevan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Manifesto BN Sarawak 2013 yang dilancarkan Taib di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, salah satu perkara yang menarik adalah BN Sarawak akan terus mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan mengadakan pengukuran keliling tanah NCR dalam mengatasi kebimbangan pemilik tanah.

“Kita juga mengakui manifesto BN persekutuan sebelum ini amat baik termasuk kepada rakyat Sarawak tetapi ia lebih menyeluruh yang akan kita tambahkan dalam beberapa bidang tertentu,” katanya.

Thursday, March 21, 2013

Tolak Pembangkang Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim!

Jacon Sagan mengingatkan rakyat khsususnya ahli SABERKAS untuk menolak pembangkang.  Mereka yang cuma datang pada musim PRU13 sahaja sememangnya tidak pandai bekerja.  Sekiranya pembangkang ini cekap bekerja mereka tidak akan diberhentikan jawatan dalam kerajaan.  

Kerajaan tidak pernah memberhentikan pekerjanya melainkan Timbalan Perdana Menteri yang pernah menjadi Menteri Kewangan dan cuba membawa beban hutang kepada Malaysia melalui IMF.  Untunglah Perdana Menteri kita sungguh bijak dan memecat Timbalan Perdana Menteri yang kurang kaliber untuk membawa Malaysia keluar daripada kancah hutang negara yang kronik.

Pembangkang juga pandai memutar-belit dan sebagai rakyat yang bijak kita seharusnya pandai menilai baik dan buruk.  Apabila Malaysia menghadapi krisis di Lahad Datu, PM telah menegaskan bahawa Sabah selama-lamanya milik Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak luar!  Hal sebaliknya pula berlaku dalam kem pembangkang di mana mereka mahu membenarkan Sabah diberi kepada Sulu atau Filipina? Baca di sini.  Inikah kehebatan pihak pembangkang?
Tolak agenda tersembunyi pembangkang

MIRI (20 Mac 2013 - Utusan Borneo): Penduduk di Baram perlu berhati-hati dengan pihak pembangkang yang kini sedang bergiat aktif menyebarkan dakyah mereka, khususnya mengenai penolakan terhadap projek-projek pembangunan di kawasan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memberitahu, tindakan pembangkang menghasut penduduk menentang projek pembangunan kerajaan di Baram mempunyai agenda tersendiri dan kepentingan mereka sahaja.

“Agenda mereka berbeza dengan agenda kerajaan. Agenda mereka adalah untuk kepentingan diri, tetapi agenda kerajaan adalah untuk membantu dan menyenangkan rakyat bukan menyukarkan rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi SABERKAS Cawangan Telang Usan di sini, malam Ahad lalu.

Jacob yang juga Ahli Parlimen Baram mahu penduduk khususnya pengundi di Baram menolak agenda tersembunyi yang giat disebarkan pembangkang di kawasan tersebut termasuk isu penentangan terhadap cadangan projek mega, Empangan Hidroelektrik Baram (Empangan Baram).

Beliau juga menasihati penduduk supaya tidak melakukan protes atau menolak pembangunan yang dibawa kerajaan kerana setiap perancangan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan bukan untuk menyukarkan rakyat.

Menurut beliau, hanya kerajaan pemerintah sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) dapat membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya pembangkang yang hanya tahu menyebarkan dakyah menentang pembangunan kerajaan.

“Telang Usan yang pernah diperintah oleh pembangkang sebelum berjaya diambil semula oleh BN, masih dan amat memerlukan pembangunan daripada pelbagai segi kerana masih jauh ketinggalan.

“Oleh itu, saya meminta penduduk di Baram supaya terus memberi lebih banyak sokongan kepada kerajaan terutama calon BN pada Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata SABERKAS sebagai sebuah pertubuhan, boleh menjadi jambatan di antara rakyat dengan kerajaan dengan membantu menyebarkan polisi pembangunan kerajaan kepada rakyat.

Sunday, March 17, 2013

BN terus bangunkan Sarawak

by Nicklos Louis Kaderi.

MESRA: Taib bersalaman dengan belia yang menyambut ketibaannya di pekan Dalat semalam.

Kerajaan masih berpegang kepada politik bangunkan negeri, bukan seperti pembangkang hanya berkata-kata

MUKAH (18 MAc 2013 - Utusan Borneo): Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memperjuangkan pembangunan Sarawak supaya negeri ini terus maju, kata Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Beliau memberitahu, kerajaan masih lagi berpegang kepada politik untuk membangunkan negeri ini, bukan seperti pembangkang yang hanya pandai berkata-kata.

“Kalau pihak pembangkang kata kita tidak buat apa-apa, mari kita lihat sendiri keadaan anak-anak serta keadaan kampung kita pada hari ini.

“Kita mempunyai pusat pendidikan selain perkembangan dalam pelbagai industri di negeri ini.

“Kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk keselesaan rakyat.

“Sehubungan itu, kita dapat merasakan bagaimana keadaan hidup kita kini berbanding sebelum ini.

“Kita ambil contoh di kawasan SCORE ini yang telah menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, ini merupakan politik BN untuk membangunkan negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Dalat semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Muhammad Leo Toyad, Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Fatimah Abdullah, ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Kenil Jerai’ie.

Dalam pada itu, Taib memberitahu bahawa pembangkang hanya tahu bercakap memburukkan kerajaan BN.

“Cerita-cerita memburukkan BN yang diperkatakan oleh mereka (pembangkang) dalam Internet adalah tindakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada supaya mereka dapat memimpin negeri atau negara ini.

“Jika mereka (pembangkang) memimpin negeri ini kemungkinan negara ini tidak akan mencapai kemajuan kerana mereka tidak mempunyai pengalaman seperti kerajaan sedia ada.

“Selain itu, mari kita lihat negeri yang dipimpin oleh pembangkang adakah negeri di bawah pimpinan mereka ada kemajuan? Contohnya seperti di Permatang Pauh dan di Kelantan,” katanya.

Thursday, July 26, 2012

Pegang Teguh Prinsip '1BN' Jika Ingin Menang Semua Kerusi Parlimen - Rundi


KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Pemimpin serta anggota komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu berpegah teguh pada prinsip '1BN' jika mahu memenangi semua 31 kerusi parlimen yang ditandingi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kelak.

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata komponen BN di Sarawak perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan beberapa kerusi ke tangan pembangkang, termasuk dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya kerana kurangnya semangat 1BN, selain faktor dalaman parti masing-masing.

"Bagi saya pembangkang tidak kuat di Sarawak, mereka menang (kerusi Parlimen dan DUN) sebab berlaku pertelagahan sesama sendiri dalam beberapa komponen BN," katanya ketika menyampaikan mesej kepada barisan Pemuda komponen BN di sini Selasa.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam berkata banyak kelebihan boleh digunakan anggota BN untuk meyakinkan rakyat, khususnya pengundi atas pagar terhadap prestasi pembangkang sama ada di negeri-negeri yang diperintah mereka atau di kawasan yang ditawan.

Menurutnya, jika setiap anggota dalam komponen BN dapat bekerjasama sebagai satu pasukan, pastinya beberapa isu yang membabitkan parti luar yang mendakwa 'mesra BN' tidak akan timbul

Tuesday, July 3, 2012

Belia Cina diyakini akan sokong BN


Posted on Utusan Borneo July 2, 2012, Monday

KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusof yakin belia Cina akan memberi sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Bercakap kepada pemberita semalam beliau berkata berdasarkan sentimen positif ditunjukkan belia Cina, BN boleh melakukan yang lebih baik berbanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

“Saya berpendapat kita (BN) akan meraih keputusan lebih baik kali ini berbanding pilihan raya negeri lalu disebabkan sokongan belia Cina semakin meningkat.

“Anda boleh melihat sendiri ramai pemimpin muda Cina yang bersungguh-sungguh mahu BN menang kali ini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Pending di pusat khidmatnya di Jalan Astana dekat sini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai sokong belia Cina kepada BN ketika ini.

Antara yang hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua SPDP Pending Athanasius Audie Chua dan Naib Presiden SPDP Kapten (Bersara) Zainuddin Tan Sri Hamdan dan Ketua Wanita SPDP Cawangan Pending Winnie Lim.

Mengenai perkembangan lain, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pending memberi sokongan penuh kepada majlis penganjuran Malam 1Malaysia dengan P195 dan P196 anjuran Sayap Wanita SPDP Pending.

Program yang bakal diadakan pada 29 Ogos ini dengan tema ‘Malam Filem Amal, Rakan Karib Selamanya’ di MBO Cineplex, tHe Spring Shopping Mall merupakan antara inisiatif diambil Wanita SPDP Pending mengukuhkan hubungan dengan parti komponen BN lain.

Selain itu, kata Lim objektif program berkenaan ialah melancarkan jentera BN untuk Parlimen Bandar Kuching dan Stampin.

“Program ini dianjurkan untuk memberi sokongan kepada parti komponen BN kita terumata calon SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) untuk Bandar Kuching dan Stampin sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” jelasnya.

Tetamu kehormat program itu ialah Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin.

Semua parti komponen BN iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), PBB, SPDP dan SUPP akan menghantar wakil masing-masing ke majlis itu nanti.

Monday, June 25, 2012

BN Mungkin Kekalkan 137 Kerusi Parlimen Yang Dikuasainya


Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan 137 kerusi Parlimen yang dikuasainya sekarang dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga, menurut kajian dan analisis terperinci Centre of Strategic Engagement (CENSE).

Kajian terbaru itu menunjukkan masih ramai yang bergantung kepada kekuatan dan organisasi jentera pilihan raya BN.

"Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang 'kekejaman polis' ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia," katanya.

Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.

Sebaliknya, CENSE berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu, kira-kira lapan peratus sejak 2008, yang akan menyaksikan sokongan di kawasan pengundi Melayu dan di kerusi yang didominasi pengundi Melayu dan campuran, terutama bagi Umno.

Berikutan itu, parti pembangkang yang mungkin terjejas adalah PKR.

Pusat itu berkata faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 termasuk - sentimen, isu, kepimpinan, infrastruktur, logistik, pembiayaan dan jentera kempen, dan kempen juga akan menunjukkan jika jentera BN benar-benar menyesuaikan lanskap baru politik, yang didominasi pembangkang, perang siber.

"Pembangkang tahu cara memainkan sentimen orang ramai dan mengakui kuasa media sosial untuk menyampaikan kepada pengundi muda. BN, sebaliknya, mempunyai kelebihan dengan logistik dan infrastruktur jenteranya, terutama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang dan sebahagian kawasan di Johor," katanya.

Tetapi, BN dilihat memiliki jentera pilihan raya lebih kukuh kerana ia lebih tersusun dan ditadbir oleh andaian yang lebih realistik berbanding 2008.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan BN kali ini adalah moral yang rendah di kalangan anggota parti dan pekerja di kawasan majoriti pengundi Cina atau di kerusi campuran di mana pengundi Cina merupakan sebahagian besar pengundi asal," katanya.

Sehubungan itu, ia percaya BN cukup realistik untuk menyedari ia tidak boleh

merampas Pulau Pinang dan Kelantan daripada pembangkang tetapi berharap untuk mengekalkan Perak serta mengambil semula Kedah dan Selangor. Bagaimanapun, peluang untuk menawan semula Selangor adalah tipis.

Dalam laporan itu, CENSE juga berkata walaupun peralihan pengundi Melayu kepada Umno, tetapi ia masih 50:50. Ini adalah kerana pengagihan kerusi pilihan raya di negara ini yang berdasarkan kaum. Justeru, peningkatan pengundi Melayu akan meningkatkan margin majoriti tetapi ia tidak bermakna lebih banyak kerusi boleh dimenangi.

"Dengan alasan sama, lebih ramai pengundi Cina untuk pembangkang juga mempunyai kesan yang terhad kerana ia hanya terbatas di kerusi majoriti Cina seperti Seputeh di Wilayah Persekutuan, Petaling Jaya Utara di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak," katanya.

"Laporan itu juga menunjukkan cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau masih memerlukan sokongan kumpulan minoriti untuk parti beliau bagi memastikan keputusan lebih baik berbanding 2008.

CENSE juga berkata berdasarkan kajian mereka selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April, golongan Melayu telah memberi sokongan kuat kepada Umno, bermakna Umno harus memenangi lebih daripada 79 kerusi pada pilihan raya akan datang.

Analisis daripada penganjuran Bersih 3.0 juga menyatakan isu kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun akan menjadi sebahagian daripada arus perdana politik manakala kuasa media sosial tidak boleh diperlekehkan dalam mobilisasi khalayak yang besar.

Ini tanpa mengira sama ada ia untuk menunjukkan perpaduan tulen atau semata-mata pengalaman kebebasan demokrasi.

Kajian CENSE juga menunjukkan sebahagian pengundi Cina kekal tidak terpengaruh dengan Bersih 3.0 berikutan 'kekecewaan' berterusan tentang isu yang telah lama wujud seperti sistem penyampaian yang lemah, tadbir urus dan meritokrasi.

Bersih 3.0 mungkin, pada tahap terbaik telah mempengaruhi pengundi Cina yang tua agar kembali semula kepada BN kerana bimbang potensi berlaku rusuhan dan kekacauan.

Laporan itu juga berkata tidak semua golongan kelas pertengahan Melayu bersedia untuk menukar kerajaan dan ini boleh memberi tip undian memihak Umno.



-- BERNAMA

Friday, April 27, 2012

Tiada parti dapat bentuk pasukan sebaik BN: Taib




Posted on April 28, 2012, Saturday

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tiada parti politik lain di negara ini yang boleh membentuk sebuah pasukan sebaik pasukan yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN).

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya, BN telah membentuk sebuah pasukan yang amat baik dengan pemimpin yang boleh memberikan apa yang rakyat mahukan.

“Oleh itu, adalah adil bagi kita memberi mandat besar kepada Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan kepimpinannya berterusan,” ujar Taib ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat, malam kelmarin.

Ketua Menteri turut memberitahu, rakyat juga harus memberi kepercayaan kepada BN bagi terus menjamin masa depan mereka.

“Kita harus bekerjasama dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kerana ini akan menguntungkan semua rakyat,” jelasnya.

Dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) ,ujar Taib, Sibu kini mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih mantap.

“Sibu kini mahu menjadi pusat pendidikan cemerlang dan mahu memastikan universiti teknologi dibina di sini. Semua ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan Sibu,” katanya.

Menurut Taib lagi, rakyat negara ini amat bertuah kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang kerap melawat Sarawak sejak meneraju pucuk pimpinan negara.

“Beliau mahu luar bandar Sarawak terus membangun dan telah memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menyambung bekalan air bersih, elektrik dan jalan ke kawasan luar bandar,” tambah beliau.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews