Saturday, February 25, 2012

Parti Komponen Bermasalah Mesti Utamakan Persiapan Hadapi Pilihan Raya - Muhyiddin


BARAM, 25 Feb (Bernama) -- Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak yang menghadapi masalah dalaman parti perlu mencari jalan penyelesaian yang tidak menggugat kedudukan parti pemerintah dalam pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata semua pihak yang terlibat perlulah memberi keutamaan kepada persiapan BN dalam pilihan raya umum ke-13 dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi di dalam parti masing-masing.

"Kita tahu perkembangan yang berlaku dan kita tahu apa isunya. Apa yang kita minta adalah supaya semua pemimpin terlibat mengambil kira perkara yang lebih besar dalam menyelesaikan masalah itu.

"Kita tahu ia rumit tetapi ada cara ia dapat diselesaikan jika kita mahu perkara itu selesai," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Bersama Warga Pendidik dan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinjar di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, diminta mengulas kemelut yang melanda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), dua parti komponen BN di negeri ini.

Perselisihan dalam SUPP berlaku semasa Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Disember lepas apabila satu kumpulan diketuai bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Wong Soon Koh bertindak memboikot perhimpunan itu selepas mempersoalkan proses dalam pemilihan parti berkenaan.

Berikutan pemboikotan itu, Anggota Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, memenangi jawatan presiden parti itu tanpa bertanding.

Sementara itu, krisis dalam SPDP memuncak dengan pemecatan lima pemimpinnya yang terdiri daripada Datuk Sylvester Entri Muran yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Marudi, Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Rossey Yunus (Bekenu), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Anggota Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

Berikutan pemecatan itu, kelima-lima mereka bertindak menubuhkan Kelab Penyokong Barisan Nasional di kawasan masing-masing.

Mengulas kemelut pentadbiran Kerajaan Kedah pimpinan PAS, Muhyiddin berkata keadaan yang berlaku sekarang menggambarkan masalah dalaman pakatan pembangkang sudah semakin meruncing.

"Masalah yang berlaku ini boleh membawa kesan kepada rakyat Kedah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews