Tuesday, February 28, 2012

Kelabit tidak lagi terpencil



by Mohd Achil Norrlatep. Posted on February 26, 2012, Sunday

Menara telekomunikasi hubungkan mereka dengan dunia luar


LONG PELUAN: Sekitar 400 komuniti Kelabit di Long Peluan kini tidak lagi terpisah jauh dari dunia luar dengan kewujudan menara telekomunikasi di kawasan itu.

Ketua Kampung Tuloi Bayo berkata, dengan kewujudan kemudahan komunikasi tersebut, kini mereka dapat berhubung dengan orang tersayang yang berada jauh di mata melalui telefon bimbit.

“Tekan sahaja nombornya sekarang kita dapat bercakap dengan sesiapa sahaja kita mahu, terutama anak saya yang jauh di Miri dan Brunei,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menara oleh syarikat telekomunikasi Celcom berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyudin Yassin ketika lawatan kerjanya ke Long Beruang dan Long Peluan semalam.

Menurutnya, dapat bercakap dengan kedua-dua anaknya bagaikan hidup dalam mimpi kerana sebelum ini mereka hanya dapat berhubung melalui radio, surat dan kadang-kadang melalui pertolongan daripada syarikat pembalakan di sekitar situ.

“Terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Celcom kerana menyediakan kemudahan ini untuk kami,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan permintaan supaya kerajaan membantu menyediakan dan memperbaiki sistem jalan raya untuk kemudahan komuniti di kawasan berkenaan.

“Pada masa sekarang jalan raya di kawasan ini dibina dan dibaiki oleh syarikat pembalakan, tetapi saya risau jika mereka tidak lagi beroperasi suatu hari nanti,” jelas beliau.

Sebab itulah Tuloi yang mewakili semua komuniti di kawasan itu menyatakan kebimbangannya ke atas kemudahan jalan raya daripada kerajaan.

Sementara itu, beliau turut berharap projek penanaman padi seperti yang dilaksanakan di Bario turut dapat dilaksanakan di kawasan itu.

Ini kerana walaupun Tuloi memberitahu mereka mempunyai tanaman berkenaan, namun ia hanya dapat menampung untuk kegunaan diri dan keluarga mereka sendiri, bukannya secara besar-besaran.

Bagaimanapun, beliau berasa bertuah kerana kerajaan melalui agensi dan badan berkaitan telah memperkenalkan tanaman getah bermutu tinggi dan juga penternakan ikan di situ.

Komuniti tempatan di kawasan berkenaan hingga sekarang masih lagi bergantung kepada hasil hutan untuk kegunaan sendiri dan juga untuk dijual.

Sebab itulah mereka mengharapkan kerajaan akan memperbaiki sistem jalan raya bagi memudahkan mereka menjual semua hasil tani dan rimba ke tempat lain.

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews