Showing posts with label Presiden UMNO. Show all posts
Showing posts with label Presiden UMNO. Show all posts

Friday, March 2, 2012

Inisiatif Kerajaan Bertepatan Konsep Negara Madinah – PM



KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan masyarakat berbilang bangsa di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras kepada kejayaan agenda transformasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu, pelbagai inisiatif mesra rakyat yang bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana diasas Rasulullah SAW telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan.

Antaranya jelas beliau, kerajaan mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia; Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA); dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Selain itu, katanya, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia; Baucar Buku 1Malaysia (BB1M); Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) turut diwujudkan.

“Semua inisiatif ini bertepatan dengan konsep negara Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya sempena perutusan Maulidur Rasul di blognya, http://www.1Malaysia.com.my, hari ini.

Mengimbau kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW, Najib berkata, Rasulullah telah berjaya membawa transformasi kepada ummah melalui kasih sayang dan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan mereka.

Tambahnya, hasil dakwah itu akhirnya muncul satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah dan ia bertepatan dengan tema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ untuk tahun ini, dalam usaha kerajaan menjayakan agenda transformasi.

Menyentuh mengenai persefahaman asas perpaduan, Perdana Menteri berkata, nilai itulah yang beliau ketengah melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan.

“Sememangnya keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi hari ini menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua,” katanya.
-Utusan

Kuatkan Ekonomi Bumiputera


PUTRAJAYA 9 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lima lagi pendekatan baru sebagai inisiatif untuk membantu memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Pendekatan baru itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputra (MTAB) yang dipengerusikan beliau di sini yang antara lain bersetuju supaya bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.

”Syarikat-syarikat ini telah melalui proses penilaian dan penarafan. Dan kita sudah tentukan syarikat ini ada potensi untuk berkembang lebih maju dan jumlah hasil syarikat tersebut dalam lingkungan RM5 bilion.

”Konsepnya bukanlah kita janjikan setiap syarikat ini semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTAB di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Perdana Menteri berkata, selain itu, mesyuarat bersetuju untuk mempelawa syarikat-syarikat bumiputera mengguna pakai aplikasi yang dibangunkan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

Seterusnya, kata beliau, majlis turut memutuskan supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri berkata, keputusan juga dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

”Dan mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera,” jelas beliau.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut memberitahu bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera menyasarkan peningkatan perolehan dana dari RM158 juta kepada RM500 juta untuk membiayai pendidikan pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

”Kita juga mahu beri nilai tambah kepada bumiputera yang lulus dalam perakaunan di peringkat sarjana muda tetapi tidak meneruskan pengajian untuk kelulusan iktisas profesional, justeru melalui yayasan ini kita akan bantu mereka menaik taraf kelulusan sebagai profesional,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Raja Azura Raja Mahayuddin sebagai Ketua Eksekutif yayasan tersebut dan akan memulakan tugas pada 14 Februari ini

Mengulas tindakan kerajaan ekoran krisis ekonomi yang melanda benua Eropah, Najib berkata, kerajaan akan memantau perkembangan semasa sebelum membuat keputusan sama ada akan mengkaji semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara atau sebaliknya.

-Utusan

Thursday, March 1, 2012

Najib Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari


KOTA BAHARU, 2 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini pagi Jumaat untuk lawatan kerja sehari ke tiga daerah di Kelantan.

Perdana Menteri tiba pada 9.25 pagi sebelum menaiki helikopter untuk menghadiri majlis ramah mesra bersama anggota tentera Rejimen Sempadan dan keluarga mereka di Batu Melintang, Jeli, selain menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Di Pasir Mas, beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Hutan Chengal, dan menemui pengetua dan guru-guru di kawasan Parlimen berkenaan serta menghadiri jamuan rakyat di Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas.

Seterusnya, Perdana Menteri akan menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan ramah mesra bersama profesional Kelantan di Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab, Kota Baharu.

Pada sebelah malam, Najib dijadual menghadiri majlis bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional negeri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Friday, February 3, 2012

PM: BN Tadbir Urus Kekayaan Negara Menerusi Pelbagai Program Kebajikan


MARANG, 3 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata semua program itu dilaksanakan tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Padang Astaka Majlis Daerah Marang di sini Jumaat.

Najib berkata, sejak mengambil alih pucuk pemerintahan negara tiga tahun lepas, beliau sering mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya sentiasa merasai denyut nadi rakyat dengan mengutamakan kebajikan rakyat dalam dasar program membela rakyat tanpa memilih bulu dan fahaman politik.

"Kita beri rakyat Bantuan Rakyat 1Malaysia, cuba bayangkan mana ada kerajaan lain di dunia ini yang 80 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dapat bantuan RM500 kecuali kerajaan kita (BN).

"Kita tidak pilih bulu, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Dia kutuk dan maki hamun kita, tetapi bila nampak duit, dia yang pertama sekali yang datang beratur, sedangkan orang kita yang berhujan dan berpanas dalam menegakkan kerajaan," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, selain BR1M, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan menurut Perdana Menteri jika diberi mandat untuk terus memerintah negara dalam pilihan raya umum akan datang, lebih banyak lagi program kebajikan seumpamanya untuk rakyat akan dilaksanakan.

"Apabila menyebut soal kepimpinan, ia berkait dengan soal kemampuan. BR1M kita mampu laksanakan...kita buat projek besar di Kuala Lumpur sebab hendak rangsang ekonomi dan dengan pertambahan hasil lima hingga enam peratus setahun kita bahagi pula kepada rakyat.

"Cukai pendapatan kita 2010- 2011 bertambah RM26 bilion setahun dan daripada jumlah itu kita beri RM2.6 bilion untuk bantuan persekolahan RM100 (setiap pelajar), baucar belian buku kepada pelajar STPM dan pelajar institusi pengajian tinggi sebanyak RM200," katanya.

Najib berkata, sejak kebelakangan ini soal kenaikan kos sara hidup merupakan cabaran utama kepada kerajaan untuk memikirkan cara yang terbaik untuk membantu rakyat dan untuk itu sebanyak RM22 billion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi pelbagai jenis barangan keperluan rakyat

Sementara itu, Perdana Menteri menyeru rakyat Terengganu mempertahankan Terengganu supaya terus kekal dalam pemerintahan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau juga mengharapkan kawasan DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang dapat dirampas kembali oleh BN bagi membolehkan kerajaan melaksanakan program pembangunan yang selama ini gagal dilaksanakan oleh PAS.

Menurutnya parti PAS kini berada dalam keadaan terumbang ambing dan semakin tidak jelas dalam memperjuangkan dasar politik mereka sejak berada dalam pakatan pembangkang.

"Pemimpin macam (bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr) Hasan Ali dibuang, orang yang benar-benar berjuang, bercakap tentang Islam dan mempertahankan akidah dipecat sebab mereka takut kepada DAP.

"Yang peliknya dalam sehari dua ini muncul pula pejuang Yahudi yang sanggup mempertahankan keselamatan Zionis sedangkan kita sepatutnya membela nasib orang Palestin yang tidak berdosa," katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemuramah akhbar The Wall Street Journal.

Thursday, January 26, 2012

Malaysia berperanan bentuk koridor pertumbuhan baharu Asia


Utusan Borneo on 26 January 2012, Khamis

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia boleh berperanan penting dalam usaha pembentukan koridor pertumbuhan baharu, yang meliputi China, melalui Asia Tenggara dan India hingga ke Timur Tengah.

Sambil menegaskan mengenai kepentingan koridor baharu itu, Perdana Menteri berkata perkongsian China-Asean-India-Timur Tengah itu akan dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan yang besar.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelancaran Majlis Perniagaan Global kena pada masanya kerana ini akan menjadi satu cara merapatkan para pemimpin perniagaan dan usahawan yang bukan sahaja dari China, India, Asean dan Timur Tengah, malah masyarakat keturunan Cina yang berselerak di seluruh dunia.

“Sekarang adalah masa kita dan ini adalah peluang kita. Jadi marilah kita mengambil kesempatan ini dalam sejarah ekonomi dunia dan memastikan kurun ke-21 diterajui oleh Asia,” katanya semasa berucap pada majlis pengurniaan khas dan pelancaran Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China (WCEF) di sini semalam.

Majlis itu menyaksikan pengur-niaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat terhadap Najib oleh Penasihat WCEF Datuk Seri Chua Soi Lek dan Penaung WCEF Tan Sri Lee Kim Yew.

Najib menerima anugerah itu berikutan langkah berani dan sumbangannya ke arah mentransformasi negara Malaysia, terutama sekali transformasi ekonomi.

Perdana Menteri berkata, dalam iklim ekonomi semasa dan dengan zon Euro masih berada dalam keadaan kewangan yang buruk, dan Malaysia yang terletak di sebelah timur – khususnya China, India, Asean dan negara-negara Teluk — bagi merangsang pemulihan ekonomi global dan mengemudikan pertumbuhan ekonomi dunia. — Bernama

Tuesday, January 24, 2012

PRU13: Najib yakin boleh rampas Kelantan



January 24, 2012

KOTA BHARU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan walaupun pertandingan antara BN dan Pas amat sengit, Kelantan merupakan 'winnable state' bagi BN pada pilihan raya umum itu.

"Apabila keyakinan itu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, ia menjadi suntikan semangat kepada kita untuk bekerja kuat," katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai kemenangan tersebut, Awang Adek berkata Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi 'pengundi atas pagar' yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

"Dalam perjumpaan itu, Perdana Menteri akui Wanita Umno adalah penggerak utama kita sebab Wanita ini dia banyak masuk ke akar umbi bertemu rakyat melalui Skuad Sayang. jadi Perdana Menteri kata dia nak bantu Wanita kerana dia tahu Wanita kerja kuat dan dengan adanya van Skuad Sayang, ia akan memberi kesan yang lebih kepada Wanita untuk mendampingi pengundi," katanya.

Sempena lawatan tersebut, Perdana Menteri turut menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Sunday, January 15, 2012

Transformasi Pendidikan, Modal Insan Asas Capai Negara Maju

Isnin Januari 16, 2012
mStar Online


PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

"Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan, di sini, Ahad.

Najib berkata sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

"Selain itu kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan, seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan," katanya.

"Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.

Najib berkata semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

"Ini adalah pelaburan untuk kita mencapai sebuah negara maju dan ia tak mungkin tercapai tanpa memajukan bidang pendidikan.

"Kita tak mungkin mencapai negara maju jika kita tidak buat transformasi untuk membangunkan modal insan, tidak buat transformasi kepada rakyat," katanya.

Pada majlis itu seramai 328 pelajar UPSR dan 146 pelajar PMR Parlimen Pekan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang berupa sumbangan wang tunai berjumlah RM200 setiap pelajar, sumbangan daripada Yayasan Pahang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak.

"Projek perumahan bersepadu di sini misalnya, mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta, ia satu kerjasama yang baik dalam usaha mentransformasi pembangunan negara ini," katanya.

Seramai 50 keluarga miskin di kawasan berkenaan yang layak, dipilih untuk menduduki rumah berkenaan secara percuma. - BERNAMA

Thursday, January 12, 2012

SBPA ditangguh: Najib

bharian.com.my
2012/01/13

NAJIB memegang logo 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia sambil diperhatikan Muhyiddin, Ahmad Sarji (dua dari kanan), Hamad Kama (kiri) dan Wan Abdul Aziz (kanan) di PWTC, semalam. Kerajaan semak semula dasar, bincang isu pelaksanaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penangguhan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
"Setelah semakan semula dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam. Penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata semakan semula tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak dan satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. Dalam skim baru itu, hiraki perkhidmatan awam terdiri daripada empat peringkat, iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sementara itu, CUEPACS yang mewakili lebih 1.2 juta kakitangan awam menyambut baik langkah kerajaan menyemak semula SBPA yang dilihat mampu menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum pelaksanaannya.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, sebelum ini hampir keseluruhan anggota kerajaan kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji penjawat awam yang banyak kekeliruan.

Sunday, January 8, 2012

Pemecatan Hasan Ali Soal Dalaman PAS - Najib


 
09 Januari, 2012 10:42 AM

Oleh Ahmad Kamil Tahir

BLOEMFONTEIN (AFRIKA SELATAN), 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemecatan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai anggota Pas adalah soal dalaman parti itu dan dan tidak ada kena mengena dengan Umno.

"Dari segi Umno kita anggap ini sebagai soal dalaman Pas dan tidak ada kena mengena sama sekali dengan sebarang campur tangan Umno dalam hal ini," kata Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya selama dua hari ke Afrika Selatan berakhir semalam.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata ini bukan hanya soal pemecatan Hasan Ali tetapi permasalahn ini ada sangkut paut dengan dasar serta hala tuju Pas pada masa kini dan akan datang.

"Nampaknya ada perbezaan besar daripada segi pendapat tentang hala tuju serta masa depan Pas tetapi pada pokok kita (Umno) anggap ini soal dalaman Pas dan bukan soal Umno," katanya.

Semalam Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemecatan Hasan berkuat kuasa serta merta.

Abdul Hadi berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Pas Pusat di Kuala Lumpur semalam berdasarkan Fasal 82(9). Hasan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihak pembangkang yakin akan dapat menambah kerusi pada pilihan raya umum ke-13 nanti serta menawan Putrajaya, Najib menganggap itu sebagai kempen psikologi semata-mata dan bukan merupakan sesuatu yang baru.

Perdana Menteri berkata seperti dalam perlawanan bola sepak atau badminton masing-masing akan menyatakan keyakinan untuk mengatasi pihak lawan.

"Jadi tidaklah merupakan sesuatu yang aneh sekiranya pihak pembangkang akan mendakwa dia ada kelebihan dan menakluki negeri-negeri tertentu dan sebagainya. Malahan kita tahu selepas pilihan raya 2008 dulu dia mendakwa bahawa pada 16 Sept pada tahun itu dia akan tubuh kerajaan tetapi yang kita tahu dakwaan itu meleset sama sekali," kata Najib.

Beliau berkata keyakinan pembangkang itu merupakan kaedah kempen yang bersifat psikologi yang bukan asing bagi kerajaan dan kerajaan memang menjangkakan itulah yang akan dilakukan oleh mereka.

"Namun kita tidak boleh pandang ringan kepada sebarang pertandingan sewaktu pilihan raya. Oleh sebab itu Barisan Nasional perlu tingkatkan tahap kesiapsiagaan kita dalam semua aspek supaya kita dapat kemenangan besar seperti mana yang diharapkan," kata Najib.

Monday, December 19, 2011

PM Lancar 1Malaysia TV

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sejarah media baru negara telah terukir hari ini dengan pelancaran televisyen Internet dan mobil pertama negara, 1Malaysia TV oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Televisyen interaktif yang boleh dilayari menggunakan telefon pintar dan tablet itu merupakan wadah dan sumber terbaharu bagi belia mendapatkan maklumat, berita dan mesej meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut.

Dengan melayari www.1malaysiaiptv.com.my atau www.erama.tv/mobiletv, pengguna boleh mengakses rangkaian saluran menarik seperti RTM1, RTM2, TV3, TV AlHijrah, My Youth TV (MyTV), CCTV1, e-Korea TV dan Documentary TV.

Penasihatnya, Datuk Md. Afendi Hamdan, berkata pelancaran saluran Internet itu adalah sejajar dengan galakan kerajaan dalam membawa gagasan 1Malaysia ke dalam media baru yang canggih merangkumi dunia Internet, peralatan komunikasi digital dan telefon mudah alih pintar.

“Lebih membanggakan Malaysia Book of Records (MBOR) turut mengiktirafkan 1Malaysia TV sebagai saluran media baru pertama yang berkonsep 1Malaysia.

“Ia bertepatan dengan cita rasa golongan muda yang mahukan maklumat terkini dengan lebih pantas selain mampu meletakkan negara pada kedudukan dalam kalangan yang terbaik.

“Ini kerana, penyebaran maklumat menerusi media baru ini mampu menjamin kebolehan media tempatan menyebarkan pengisian maklumat ke dunia yang lebih luas tanpa sempadan.

“Dunia media baru mampu mencapai sasaran terutamanya bagi golongan muda yang amat bergantung kepada Internet dan peralatan telekomunikasi mudah alih pintar dalam kehidupan seharian mereka,” katanya pada majlis Pelancaran 1Malaysia TV di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz serta pengarah filem Ahmad Idham.

Pada majlis berkenaan, Rosmah mendapat kejutan berupa sebuah kek sempena hari kelahirannya ke-60.

Tambah Md. Afendi, perkembangan pantas teknologi baharu yang telah mengubah cara hidup dan berfikir generasi masa kini kepada kehidupan yang serba canggih turut selari dengan pendekatan kerajaan selama ini.

“Justeru, bagi menyahut usaha-usaha kerajaan ini, kita wujudkan kesinambungan di antara segenap lapisan generasi yang berbeza agar masyarakat bergerak pada aliran masa yang sama dan tidak ketinggalan,” ujarnya.

Aplikasi 1Malaysia TV juga boleh dimuat turun melalui iTunes App Store bagi iPhone, Blackberry App World (Blackberry) dan Android Market (Android) secara percuma selama tiga hari iaitu bermula hari ini dan akan mengenakan bayaran RM3 selepas itu.


-UTUSAN-

Sunday, December 18, 2011

Perubahan UMNO Tidak Harus Dibayangi Pemimpin Pentingkan Diri Sendiri


17 Disember, 2011 15:52 PM

Oleh Mohd Noor Firdaus Mohd Azil

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Agenda transformasi yang dilaungkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus diperkatakan, namun soal menghayati aspirasi berkenaan di pihak anggota parti Melayu terbesar itu turut mendapat perhatian.

Beberapa perkara acapkali dibangkitkan Najib dalam memastikan hala tuju parti berada pada landasan tepat, termasuk memastikan hanya 'winnable candidates' saja bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, selain usaha meremajakan parti itu.

Namun, pemerhati politik melihat dalam kalangan segelintir pemimpin yang memegang jawatan seolah-olah wujud kerisauan akan kehilangan apa yang digenggam seandainya tidak tersenarai sebagai calon.

Menurut penganalisis politik Md Shukri Shuib, adalah perlu bagi pemimpin sebegini menginsafi dan membuat muhasabah diri serta tidak membelakangkan agenda sebenar Umno iaitu memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata perubahan Umno sangat diperlukan namun usaha ke arah itu akan dibayangi kewujudan pemimpin yang hanya mendepankan kepentingan diri sendiri.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata sikap segelintir pemimpin ini harus ditolak sama sekali kerana ia hanya akan menjadi parasit yang memusnahkan parti terbesar kaum Melayu itu daripada dalam.

"Kenapa bila kita bertanding kita nak menang, tapi bila orang lain kita nak tengok dia kalah? Ini seolah-olah menunjukkan orang itu cuba membakar sekolah sendiri tempat dia menimba ilmu, dan tidak mahu memberi peluang kepada orang lain.

"Umno ni berjuang demi agama, bangsa dan negara serta merupakan tunjang belakang pengurusan Malaysia...Jangan dirosakkan perjuangan itu, ditukar kepada perjuangan aku dan diri sendiri," katanya.

Md Shukri berkata pemimpin sebegini sepatutnya menjadi mentor kepada generasi baru yang bakal mewarnai arena politik negara kerana gabungan tenaga dan idea dua generasi itu akan memantapkan serta memberi imej lebih segar kepada parti tersebut.

"Generasi pelapis harus dilatih serta didedahkan dengan pengalaman oleh pemimpin terdahulu. Kita tak boleh anggap hanya orang muda sahaja sebagai aset, kerana walaupun pemikiran mereka lebih kritikal, tetapi tanpa pengalaman ia tidak akan lengkap," katanya.

Menyokong kenyataan tersebut, seorang lagi pemerhati politik, Khairuddin Mohd Zain berpendapat peremajaan Umno tidak bermaksud faktor umur muda sahaja menjadi kriteria kerana ia turut bererti penampilan muka-muka baru yang bebas daripada unsur yang boleh memudaratkan parti secara amnya.

"Bila kita kata peremajaan Umno, dia tak merujuk kepada remaja daripada sudut umur. What can be more influential ialah orang yang tak ada 'political baggage' tidak dicemari dengan isu yang boleh mencalarkan imej parti.

"Mesej presiden cukup jelas; mendepankan 'winnable candidate' bermaksud mengurangkan wajah-wajah yang mempunyai masalah serta berisiko menjadi liabiliti kepada parti serta mendahulukan wajah-wajah lebih telus, mempunyai integriti serta disenangi rakyat," kata anggota Jawatankuasa Alumni Universiti Islam Antarabangsa itu.

Ditanya mengenai sikap pemimpin yang mungkin kecewa sekiranya tidak dicalonkan, Khairuddin berkata rakyat sendiri akan menilai keikhlasan individu tersebut.

"Masyarakat kita makin terdidik, dan orang-orang macam ini akan alami masalah dengan credibility sendiri. Bila dia marah orang sebab dia tak dapat something, that shows that you're not sincere," katanya.

Menurut Khairuddin masalah utama Umno sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah parti itu dilihat kurang menitikberatkan usaha melahirkan pelapis kepimpinan yang baru.

Namun, beliau merasakan Najib sudah berjaya mengawal keadaan tersebut dengan gaya kepimpinannya tersendiri.

"Najib has a clear picture of what he's going to do tetapi jika segelintir pemimpin akar umbi masih sibuk tentang siapa patut pegang jawatan, rasa tercabar kalau ada orang lain lebih menonjol, ini hanya akan menunjukkan kepada masyarakat bahawa akar umbi tidak mendokong aspirasi kepimpinan tertinggi," katanya.

Khairuddin merasakan PRU akan datang merupakan medan terbaik untuk Umno mengketengahkan invidividu berwibawa, berkredibiliti, ada idealisme dan mampu mendekati rakyat.

"PRU kali ini menjadi window untuk Umno menukar atau mencari sistem nilai baru yang sesuai dengan keadaan. Kerana mereka harus sedar masyarakat, khususnya orang muda, lebih menghargai kepimpinan yang telus serta adil," katanya.

Seorang anggota Pemuda Umno, Mohamad Nazmi Zaidi Moni menganggap kerjasama erat antara golongan lama dan baru sangat diperlukan bagi memastikan kesinambungan parti.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Seri Setia Lembah Keramat itu menarik perhatian bahawa pengalaman dan tunjuk ajar orang lama masih diperlukan dalam menghadapi sepak terajang politik.

"Golongan muda sekarang lebih kritis dalam berfikir tetapi kekurangan mereka ialah semangat yang dirasai golongan terdahulu yang telah bersama Umno sejak sekian lama, ketika zaman sebelum dan selepas kemerdekaan.

"Bagi memastikan semangat yang diperjuangkan parti berterusan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin yang ada mendidik dan mengasuh golongan muda, bukannya mencantas dan menutup peluang," tegasnya.

-- BERNAMA

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews