Friday, March 2, 2012

Kuatkan Ekonomi Bumiputera


PUTRAJAYA 9 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lima lagi pendekatan baru sebagai inisiatif untuk membantu memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Pendekatan baru itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputra (MTAB) yang dipengerusikan beliau di sini yang antara lain bersetuju supaya bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.

”Syarikat-syarikat ini telah melalui proses penilaian dan penarafan. Dan kita sudah tentukan syarikat ini ada potensi untuk berkembang lebih maju dan jumlah hasil syarikat tersebut dalam lingkungan RM5 bilion.

”Konsepnya bukanlah kita janjikan setiap syarikat ini semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTAB di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Perdana Menteri berkata, selain itu, mesyuarat bersetuju untuk mempelawa syarikat-syarikat bumiputera mengguna pakai aplikasi yang dibangunkan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

Seterusnya, kata beliau, majlis turut memutuskan supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri berkata, keputusan juga dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

”Dan mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera,” jelas beliau.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Pada sidang akhbar itu, Najib turut memberitahu bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera menyasarkan peningkatan perolehan dana dari RM158 juta kepada RM500 juta untuk membiayai pendidikan pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

”Kita juga mahu beri nilai tambah kepada bumiputera yang lulus dalam perakaunan di peringkat sarjana muda tetapi tidak meneruskan pengajian untuk kelulusan iktisas profesional, justeru melalui yayasan ini kita akan bantu mereka menaik taraf kelulusan sebagai profesional,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Raja Azura Raja Mahayuddin sebagai Ketua Eksekutif yayasan tersebut dan akan memulakan tugas pada 14 Februari ini

Mengulas tindakan kerajaan ekoran krisis ekonomi yang melanda benua Eropah, Najib berkata, kerajaan akan memantau perkembangan semasa sebelum membuat keputusan sama ada akan mengkaji semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara atau sebaliknya.

-Utusan

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews