Saturday, March 3, 2012

Hulu Rajang, Kawasan Parlimen Terbesar Perlukan Wakil Rakyat Hebat


Oleh Edward Subeng Stephen

KAPIT, 2 Mac (Bernama) -- Kawasan Parlimen Hulu Rajang, yang berkeluasan 31,817 km persegi, merupakan kawasan pilihan raya terbesar di negara ini yang secara fizikal keluasannya hampir sama dengan negeri Pahang.

Mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balleh dan Belaga, Parlimen Hulu Rajang merupakan kawasan yang sangat mencabar daripada segi bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan untuk sampai ke sana.

Natijah kawasan sebegitu luas dan kemudahan untuk mendekatinya yang masih ketinggalan berbanding kawasan lain di negara ini memerlukan wakil rakyat yang hebat dan sanggup menghadapi cabaran luar biasa.

Hakikat ini pastinya memberi jawapan mengapa Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo tampak keletihan ketika menghadiri satu majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangau, dekat Sibu baru-baru ini.

Pembantu beliau, Kennedy Chuk berkata ini kerana Abit telah menjelajahi ke hulu ke hilir mengedarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat di kawasannya selain melaksanakan rutin lain.

Kawasan Parlimen Hulu Rajang mempunyai 18,701 pengundi berdaftar yang terdiri sebahagian besar seramai 10,875 kaum Iban dan 7,255 Orang Ulu.

Orang Ulu pula merupakan kumpulan suku etnik Kayan, Kenyah, Penan dan Kajang (yang terbahagi pula kepada subetnik Skapan, Punan, Lahanan, Kejaman dan Sihan). Baki pengundi lain terdiri daripada kaum Cina yang kebanyakannya berniaga dan kaum Melayu di sekitar pekan Belaga.

Hulu Rajang merupakan lokasi penjana tenaga terbesar di Bumi Kenyalang dengan Empangan Hidroelektrik Bakun bernilai RM7 bilion dan akan datang Empangan Hidroelektrik Murum yang berharga RM3 bilion, dengan kedua-duanya terletak di daerah Belaga.

Kawasan Parlimen Hulu Rajang yang masih dahagakan pembangunan memerlukan wakil rakyat yang mampu menghadapi cabaran luar biasa dan berupaya untuk memberikan khidmat tidak berbelah-bahagi kepada masyarakat rumah panjang di pedalaman.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, pemimpin tempatan yang berhasrat menjadi calon pasti mahu membuktikan bahawa mereka adalah calon yang boleh menang.

Bagi Abit, yang berketurunan Kayan daripada Skim Penempatan Semula Sungai dan merupakan bekas pegawai pendidikan, yang sudah menjadi mewakili Hulu Rajang sejak 1990, berasa gembira kerana masih sihat dan gagah untuk berkhidmat dan mahu diberi peluang sekali lagi.

Beliau tidak berasa hairan apabila kerusi disandangnya diintai pemimpin lain yang mahu menjadi calon pada setiap kali menjelang pilihan raya.

Kali ini, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Balleh, Wilson Ugak Kumbong, 49, berketurunan Iban, disebut-sebut berminat untuk menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Alasannya adalah kerana Abit, 63, telah menyandang jawatan begitu lama dan sudah tiba masanya bagi Abit memberikan peluang kepada pemimpin muda dan kaum Iban untuk melakukannya.

Ugak, yang merupakan setiausaha sulit kepada Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing, berpendapat beliau juga seorang calon boleh menang berasaskan kekuatannya sebagai seorang Iban manakala isterinya yang berketurunan Punan berasal dari penempatan di Belaga.

Namun begitu, Chuk yang merupakan pengerusi PRS Bahagian Belaga, berkata Abit masih seorang calon boleh menang dan kedudukannya masa ini amat baik terutamanya di kalangan Orang Ulu, dan beliau begitu prihatin terhadap masyarakat Penan dan kebajikan mereka.

"Kita lebih memerlukan beliau pada masa ini. Kita bercakap mengenai peluang perniagaan dan pelancongan hasil pembangunan Empangan Hidroelektrik Bakun dan Murum. Tiada siapa lebih baik daripada Abit untuk memimpin kami. Bukanlah suatu kesalahan jika beliau sudah menyandangnya selama lima penggal," katanya.

Dalam satu kisah menaik lain, Abit merupakan seorang daripada 'Tiga Abdul Dari Sarawak' di Parlimen yang kawasan masing-masing saling berkaitan dan berhampiran. Dua lagi 'Abdul' ialah Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Istilah 'Tiga Abdul' ini diberikan rakan sejawatan mereka kerana nama mereka bermula daripada huruf A.

"Ini bukanlah sangat kerana gelagat kami tetapi kerana kesungguhan dan konsistensi kami dalam mengemukakan idea-idea pembangunan di kawasan Parlimen kami yang saling berkaitan," kata Nanta dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Pencapaian jelas adalah kelulusan kerajaan untuk membina jalan raya yang menghubungkan Kapit ke Kanowit dan sekarang giat dilaksanakan dari Kapit ke Song, dan dari Kanowit ke Song.

Menerusi jalan ini, orang ramai masih boleh ke Kapit walaupun selepas perkhidmatan bot laju terakhir berlepas dari Sibu pada 2.30 petang atau dari Kapit pada pukul 3.15 petang.

Nanta optimis jalan penghubung ini akan menjana lebih banyak pembangunan infrastruktur dan pertanian serta memberi manfaat kepada ketiga-tiga kawasan.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews