Wednesday, January 11, 2012

Adakah DAP Terima Pakai Satu Calon Bagi Satu Kerusi Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang?


11 Januari, 2012 17:18 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Adakah DAP akan menerima pakai dasar seorang calon bagi satu kerusi pada pilihan raya umum akan datang seperti yang ditekankan oleh Pengerusi Kebangsaan parti Karpal Singh?

Persoalan ini telah menyebabkan ramai di kalangan anggota akar umbi DAP tersenyum sinis yang menyatakan mereka ingin sangat mempercayainya hanya jika ada jaminan bahawa tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pemimpin atau yang terpilih.

"Lebih baik tanya (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng atau (Exco Selangor) Teresa Kok atau (pemimpin pembangkang Negeri Sembilan) Anthony Loke dan lain-lain yang kini menjadi Anggota Parlimen dan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri)," kata seorang anggota akar umbi yang enggan memberikan nama.

"Tiada lagi dua kerusi, tidak seperti masa kami, kami dulu tidak mempunyai calon yang mencukupi. Sekarang keadaan sudah berubah, kami mempunyai ramai calon dan kami mesti memberi peluang kepada yang lain. Saya ambil serius isu ini, tiada lagi kerusi berganda dalam DAP," kata Karpal yang dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di pejabatnya, pada Selasa.

Parti itu kini sudahpun menggerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan meminda perlembagaannya bagi membenarkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga akhir tahun.

Bagaimanapun, dua isu penting yang timbul di kalangan anggota parti itu, bahawa seorang calon hanya perlu bertanding bagi satu kerusi dan sama ada DAP akan meletakkan lebih ramai calon Melayu, tidak diselesaikanpun pada mesyuarat di Shah Alam baru-baru ini.

Banyak di kalangan pemimpin akar umbi percaya kenyataan Karpal mengenai tiada lagi dua kerusi dengan pengecualian bagi calon-calonnya di Sabah dan Sarawak, hanya untuk menyejukkan isu itu memandangkan parti itu sedang bersiap sedia untuk bertanding kira-kira 35 kerusi Parlimen dan berdozen-dozen kerusi negeri.

Satu laporan menyebut bahawa anggota akar umbi DAP mengalu-alukan pengecualian di Sabah dan Sarawak kerana kurangnya calon yang berkemampuan tetapi bukan untuk calon ketua menteri.

Ada yang berhujah Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP perlu memilih sama ada kerusi negeri atau parlimen memandangkan sejak pilihanraya umum 1974, ketua-ketua menteri Pulau Pinang hanya bertanding bagi satu kerusi negeri.

Pada masa ini, Lim merupakan ADUN Air Putih dan Anggota Parlimen kawasan Bagan.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata dengan membenarkan ahli politik bertanding bagi kerusi Parlimen dan Negeri bukan suatu yang baru kepada DAP atau parti memerintah Barisan Nasional di peringkat persekutuan, kerana dasar itu telah diterima pakai sejak begitu lama.

Beliau bersetuju bahawa DAP perlu melihat secara serius dasar satu calon bagi satu kerusi tetapi hanya di kawasan tertentu sahaja dengan menambah kata ia tidak terpakai bagi mereka yang memegang jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar.

"Dasar persekutuan mempunyai impak ke atas negeri. Bagi pemimpin-pemimpin seperti Lim Guan Eng untuk bertanding bagi pilihan raya negeri dan parlimen adalah sah kerana mereka akan menggunakan Parlimen bagi menyuarakan pandangan mereka mengenai isu yang digubal di peringkat kebangsaan," katanya kepada Bernama.

Tan menjelaskan ada beberapa faktor lain seperti kemampuan seseorang calon yang boleh menang dan oleh itu, sesetengah daripada mereka perlu diletakkan bagi kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan.

"Pada masa ini, tiada keputusan dibuat. tetapi sudah tentu, CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat ) perlu memutuskan perkara ini sebelum parti memuktamadkan senarai calon-calonnya. Sudah pasti, kami akan membuat keputusan mengenai perkara ini.

Bagaimanapun, beberapa anggota dalaman parti dan pemerhati politik sangsi parti itu akan menerima pakai dasar satu calon bagi satu kerusi.

Mereka berkata sekurang-kurangnya enam wakil DAP yang dipilih akan terjejas: Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy (ADUN Prai dan Anggota Parlimen Batu Kawan), Ketua DAP Pulau Pinang dan Exco Chow Kon Yeow (ADUN Padang Kota dan Anggota Parlimen Tanjung), Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham (ADUN Sitiawan dan Anggota Parlimen Beruas).

Yang lain termasuk setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming (ADUN Pantai Remis dan Anggota Parlimen Taiping), Exco Selangor Teresa Kok (Anggota Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara) dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke (ADUN Lobak dan Anggota Parlimen Rasah).

Kebanyakan daripada mereka enggan, sebagai pihak berkepentingan, untuk mengulas perkara ini ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya tidak mungkin parti akan menerima pakai dasar itu kerana dari segi politik ia mungkin berisiko.

"Apa yang akan mereka lakukan, mungkin cuba untuk meletakkan lebih banyak muka baru bagi kerusi dewan negeri dan parlimen tapi tidak meminta mereka yang menyandang dua kerusi untuk melepaskan satu daripadanya," kata pemerhati politik.

Satu perkara yang pasti ketika ini ialah parti mungkin meletakkan lebih ramai calon Melayu pada pilihan raya umum bermula dengan Johor, di mana DAP dijangka meletakkan sekurang-kurangnya dua calon Melayu.

Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau mengesahkan badan perhubungan negeri telah menyenaraikan dua calon bagi dua kerusi tetapi enggan mendedahkan identiti mereka atau kerusi yang bakal ditandingi.

"Seorang akan bertanding di Parlimen dan seorang lagi kerusi dewan negeri," katanya kepada Bernama.

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews