Sunday, January 15, 2012

BN Perlu Tekun Dan Bijak Di Sarawak, Kata Presiden PRS

15 Januari, 2012 14:01 PM

BINTULU, 15 Jan (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergantung pada tagline kempen pilihan rayanya selama ini "Tiada Barisan Nasional, Tiada Pembangunan" di Sarawak kerana keadaan sudah berubah.

Ini kerana pengundi yang ada sekarang "bukan saja terdiri daripada golongan muda, tetapi juga berpelajaran tinggi dan amat mengetahui segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka"," katanya pada satu majlis jamuan anjuran PRS Cawangan Bintulu di sini, malam tadi.

Masing berkata kewujudan Internet telah mengubah senario yang wujud sebelum ini.

"Ia membawa kebaikan dan keburukan kepada kita. Dengan adanya Internet, kita ada media alternatif atau media sosial, yang mempunyai lebih ramai pembaca berbanding media arus perdana.

"Media alternatif ini mempunyai jangkauan yang lebih meluas dan dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Oleh itu, penduduk, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, mendapat pelbagai maklumat tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Masing berkata kehidupan mereka juga lebih makmur dan oleh itu memerlukan lebih banyak perkara, selain keperluan asas.

"Oleh itu, cubaan untuk menarik mereka dengan projek kecil atau projek pembangunan tidak lagi praktikal dan berkesan. Sebaliknya, kita bukan saja perlu bekerja keras, tetapi juga bekerja dengan bijak," katanya.

Beliau berkata antara caranya ialah para wakil rakyat perlu bersikap benar-benar jujur dan ikhlas terhadap mereka.

"Kalau kita tak mampu melakukan sesuatu, kita perlu berterus terang mengenainya. Kita juga perlu sentiasa turun padang.

"Saya dapati pengundi lebih mudah memaafkan kesilapan YB yang sentiasa bekerja keras serta sentiasa mudah didekati sepanjang tempoh perkhidmatan mereka berbanding yang hanya menunjukkan muka apabila menjelang pilihan raya," katanya.

Masing berkata perkara yang beliau nyatakan itu adalah berdasarkan pengalaman beliau semasa berada dalam pembangkang selama lapan tahun dan tidak berkemampuan untuk menawarkan sebarang projek pembangunan atau bantuan kepada rakyat.

"Apa yang saya miliki hanyalah masa dan itulah yang saya berikan kepada mereka. Setiap kali pilihan raya diadakan, pengundi membalas budi saya dan hasilnya, saya menang dengan undi yang sentiasa bertambah pada setiap pilihan raya," katanya.

Masing berkata beliau yakin kerajaan BN akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang. Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan selewat-lewatnya pada April 2013.

Beliau menasihati pengundi luar bandar, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Dayak, supaya menyokong BN kerana parti gabungan itu terbukti berlaku adil kepada semua rakyat.

"Janganlah cuba-cuba hendak memilih pemimpin Pakatan Rakyat kerana mereka tidak pernah bersatu daripada segi pendapat dan arah tuju," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews