Manifesto BN Negeri fokus keperluan rakyat SarawakUtusan Borneo 18 April 2013, Khamis
KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri disifatkan lebih mendalam dan menekankan tentang keperluan sebenar rakyat di negeri ini.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, malah segala perkara yang dinyatakan dalam manifesto yang dilancarkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam ternyata amat relevan kepada rakyat Sarawak khasnya penduduk luar bandar.
“Misalnya, transformasi luar bandar yang merangkumi penyediaan rangkaian jalan raya, bekalan elektrik dan air, selain khidmat kesihatan kepada penduduk luar bandar adalah perkara yang kita tekankan.
“Bagi saya manifesto BN negeri lebih terperinci dengan isu-isu tertentu kerana kita tidak menyentuh perkara yang bukan di luar bidang kita seperti kewangan dan sebagainya, tetapi kita menekankan perkara yang relevan dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Manifesto BN Sarawak 2013 yang dilancarkan Taib di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, salah satu perkara yang menarik adalah BN Sarawak akan terus mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan mengadakan pengukuran keliling tanah NCR dalam mengatasi kebimbangan pemilik tanah.
“Kita juga mengakui manifesto BN persekutuan sebelum ini amat baik termasuk kepada rakyat Sarawak tetapi ia lebih menyeluruh yang akan kita tambahkan dalam beberapa bidang tertentu,” katanya.