Tolak agenda tersembunyi pembangkang
MIRI (20 Mac 2013 - Utusan Borneo): Penduduk di Baram perlu berhati-hati dengan pihak pembangkang yang kini sedang bergiat aktif menyebarkan dakyah mereka, khususnya mengenai penolakan terhadap projek-projek pembangunan di kawasan itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memberitahu, tindakan pembangkang menghasut penduduk menentang projek pembangunan kerajaan di Baram mempunyai agenda tersendiri dan kepentingan mereka sahaja.
“Agenda mereka berbeza dengan agenda kerajaan. Agenda mereka adalah untuk kepentingan diri, tetapi agenda kerajaan adalah untuk membantu dan menyenangkan rakyat bukan menyukarkan rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi SABERKAS Cawangan Telang Usan di sini, malam Ahad lalu.
Jacob yang juga Ahli Parlimen Baram mahu penduduk khususnya pengundi di Baram menolak agenda tersembunyi yang giat disebarkan pembangkang di kawasan tersebut termasuk isu penentangan terhadap cadangan projek mega, Empangan Hidroelektrik Baram (Empangan Baram).
Beliau juga menasihati penduduk supaya tidak melakukan protes atau menolak pembangunan yang dibawa kerajaan kerana setiap perancangan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan bukan untuk menyukarkan rakyat.
Menurut beliau, hanya kerajaan pemerintah sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) dapat membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya pembangkang yang hanya tahu menyebarkan dakyah menentang pembangunan kerajaan.
“Telang Usan yang pernah diperintah oleh pembangkang sebelum berjaya diambil semula oleh BN, masih dan amat memerlukan pembangunan daripada pelbagai segi kerana masih jauh ketinggalan.
“Oleh itu, saya meminta penduduk di Baram supaya terus memberi lebih banyak sokongan kepada kerajaan terutama calon BN pada Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata SABERKAS sebagai sebuah pertubuhan, boleh menjadi jambatan di antara rakyat dengan kerajaan dengan membantu menyebarkan polisi pembangunan kerajaan kepada rakyat.