by Sandy Mark Luna. Posted on December 19, 2011, Monday
PERKASA MEDIA BAHARU: Taib melawat pameran pada majlis Sepetang Bersama AZAM sambil disaksikan oleh Morshidi (kiri) dan Aloysius (kanan). |
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, memandangkan golongan muda seawal 13 tahun mula terdedah dengan dunia maklumat tanpa sempadan, mereka mudah terdedah kepada maklumat kurang tepat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Oleh itu, cara terbaik adalah kita (kerajaan) terlibat dan memainkan peranan dalam media baharu yang merupakan saluran komunikasi paling berkesan.
“Kita perlu belajar sesuatu yang baharu tentang cara mendekati dan berinteraksi dengan generasi muda kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sepetang Bersama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah AZAM Datu Aloysius Dris dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani.
Taib dalam pada itu menyeru AZAM dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) untuk mencari jalan agar dapat terus memberi maklumat sewajarnya kepada masyarakat, khasnya di peringkat akar umbi.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk berinteraksi dengan akar umbi kerana untuk membuatkan orang ramai bertindak balas kepada strategi pembangunan, ia memerlukan penerangan dan komunikasi yang banyak.
“Bagi kami (kerajaan), mendedahkan apa yang benar adalah yang terbaik, tidak harus mengambil pendirian menyebelahi mana-mana orang tertentu walaupun dalam kerajaan.
“Apabila kerajaan adalah salah, maka kerajaan salah, itu sahaja, tetapi kita perlu melihat analisis yang mencerminkan apa yang terbaik untuk rakyat dan mencari jalan meningkatkan penyertaan dalam pembangunan, khasnya generasi muda,” katanya.