Monday, March 26, 2012

Luar bandar kekayaan Sarawak

by Sandy Mark Luna. Posted on March 27, 2012, Tuesday
SIMBOLIK PERASMIAN: Taib (empat kiri) dan Ragad (empat kanan) bersama (dari kiri) Masing, Empiang, Jabu, Uggah, Morshidi dan Chuat memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-10 Betong Diisytiharkan menjadi Bahagian Ke-11, semalam.
BETONG: Ekonomi negeri mampu dijana ke tahap lebih tinggi hasil potensi luar bandar: Taib.

Kerajaan akan memberi lebih banyak tumpuan kepada luar bandar memandangkan kawasan itu mempunyai potensi lebih besar untuk menggerakkan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu, kawasan luar bandar yang luas di negeri menjanjikan prospek amat cerah berikutan kekayaannya dari segi sumber asli dan tanah yang perlu diterokai untuk tujuan pembangunan.

Menjadikan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai contoh, katanya, kawasan itu yang dahulunya sangat mundur bakal menjana berbilion-bilion ringgit bukan sahaja untuk negeri ini, tetapi juga negara.

“Mereka yang tidak memahami perkara ini, harus cuba memahaminya kerana potensi lebih besar untuk Sarawak datang dari kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, penduduk Sarawak perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk memainkan peranan dalam ‘polisi mengejar pembangunan’ (catch-up plan) bagi memastikan matlamat untuk mengangkat ekonomi kita mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Betong Diisytiharkan menjadi Bahagian Ke-11 di Sarawak, di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini semalam.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas, dan Residen Betong Datu Romie Sigan, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Taib berkata, pembangunan yang dirancang kerajaan tidak akan dapat tercapai sekiranya penduduk Sarawak tidak menyesuaikan diri dengan kehendak pembangunan.

Menurutnya, sebab itulah latihan teknikal diberi penekanan khasnya dalam kalangan generasi muda memandangkan SCORE memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dari segi teknikal.

Justeru, ujarnya, para pelajar perlu menyahut seruan kerajaan untuk menceburi bidang teknikal yang akan menjanjikan pulangan yang lumayan pada masa hadapan.

“Pelan ‘mengejar membangunan ini’ lebih bergantung kepada rakyat daripada kerajaan kerana anda perlu menyediakan diri untuk menghadapi keperluan-keperluan dalam meningkatkan ekonomi negeri,” katanya

0 comments:

Post a Comment

BN4Sarawak tidak bertanggungjawab atas segala maklumat yang dipetik dari laman ini. Ini adalah pemerhatian dan ulasan peribadi kami dan tiada kena mengena dengan Parti Barisan Nasional sebenar.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews