Friday, April 27, 2012

Tiada parti dapat bentuk pasukan sebaik BN: Taib




Posted on April 28, 2012, Saturday

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tiada parti politik lain di negara ini yang boleh membentuk sebuah pasukan sebaik pasukan yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN).

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya, BN telah membentuk sebuah pasukan yang amat baik dengan pemimpin yang boleh memberikan apa yang rakyat mahukan.

“Oleh itu, adalah adil bagi kita memberi mandat besar kepada Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan kepimpinannya berterusan,” ujar Taib ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat, malam kelmarin.

Ketua Menteri turut memberitahu, rakyat juga harus memberi kepercayaan kepada BN bagi terus menjamin masa depan mereka.

“Kita harus bekerjasama dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kerana ini akan menguntungkan semua rakyat,” jelasnya.

Dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) ,ujar Taib, Sibu kini mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih mantap.

“Sibu kini mahu menjadi pusat pendidikan cemerlang dan mahu memastikan universiti teknologi dibina di sini. Semua ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan Sibu,” katanya.

Menurut Taib lagi, rakyat negara ini amat bertuah kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang kerap melawat Sarawak sejak meneraju pucuk pimpinan negara.

“Beliau mahu luar bandar Sarawak terus membangun dan telah memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menyambung bekalan air bersih, elektrik dan jalan ke kawasan luar bandar,” tambah beliau.

Sunday, April 22, 2012

Najib umum Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang ganti Tsu Koon

Berita Harian
2012/04/22
Teng Chang Yeow

GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang baru, menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Chang Yeow adalah Setiausaha Agung Parti Gerakan.  Najib mengumumkan demikian selepas mengadakan perjumpaan Bersama Jentera BN negeri sempena lawatan seharinya ke Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Club, di sini, pagi ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan 345 PDM di seluruh Pulau Pinang.

Najib berkata lantikan terhadap bekas Exco kerajaan negeri yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar itu akan berkuat kuasa hari ini.

"Saya umumkan pelantikan Teng Chang Yeow sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu dan beliau akan ambil alih dan memikul tanggungjawab itu mulai hari ini.  

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Dr Teng Hock Nan kerana faham bahawa inilah realiti politik, walaupun beliau sendiri telah banyak memberi sumbangan dan tenaga kepada parti selama ini," katanya.

Pada November tahun lepas, Koh yang juga Presiden Gerakan mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan dengan itu dirumuskan bahawa beliau pada prinsipnya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang.

Najib berkata pelantikan Teng sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu juga sebagai pemangkin kepada kekuatan jentera BN khususnya di negeri ini yang memerlukan pembaharuan.

Pembaharuan ini bererti bahawa semua pihak harus bekerjasama dan bermuafakat serta boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk mengukuhkan parti, katanya.

"Dalam konteks Pulau Pinang ini, kita perlu kepada pembaharuan dan sebab itulah bila saya berbincang dengan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, beliau sedar hakikat ini dan sebab itulah beliau umumkan tak akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini dan beliau beritahu akan tamatkan perkhidmatan dalam kerajaan sebab beliau tahu realitinya begitu.

"Terima kasih Koh Tsu Koon," kata Perdana Menteri.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan. - BERNAMA

Friday, April 6, 2012

BN serius, komited maju negara

Oleh Azmi Md Deros, Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Nahar Tajri
bhnews@bharian.com.my
2012/04/06
MUHYIDDIN berbual bersama wakil pertubuhan peniaga kecil dan pemandu teksi pada majlis perjumpaan di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani, semalam.
MUHYIDDIN berbual bersama wakil pertubuhan peniaga kecil dan pemandu teksi pada majlis perjumpaan di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani, semalam.
Muhyiddin mahu rakyat terus sokong kepemimpinan capai Wawasan 2020

SUNGAI PETANI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) serius dan komited menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan rakyat meningkat dua kali ganda kepada AS$19,000 atau hampir RM60,000 setahun pada 2020. Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu BN tidak akan membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan kos, sebaliknya memberi jaminan akan menunaikan janji yang dibuat.
“Kerajaan BN sentiasa memikirkan cara, usaha dan pelbagai bantuan bagi membantu rakyat, malahan Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak banyak menyentuh kepentingan rakyat. Dalam masa lapan tahun lagi, sasaran pendapatan mesti meningkat dua kali ganda,” katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan peniaga kecil dan pemandu teksi di Kedah, di Padang Awam Taman Ria di sini, semalam.

Kira-kira 1,500 orang, termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah hadir.

Muhyiddin berkata, berbilion-bilion ringgit dikeluarkan sebagai pinjaman mudah kepada rakyat dan banyak lagi program sedang dirangka untuk membantu rakyat menjadi usahawan.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada lebih 40,000 pengusaha dan pemandu teksi seluruh negara dalam masa terdekat. Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan masing-masing RM120,000 kepada 12 persatuan pemandu teksi dan 12 persatuan peniaga kecil di Kedah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kewujudan Jawatankuasa Pemandu dan pelantikan semula dua bekas EXCO negeri yang sebelum ini menentang kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan memberi kesan buruk terhadap kelancaran pentadbiran negeri, terutama dalam aspek pembangunan dan ekonomi.

Katanya, krisis kepemimpinan dalam kerajaan PAS Kedah dijangka tidak akan berkesudahan, sebaliknya akan menjadi lebih rumit sehingga menyusahkan rakyat.

Beliau juga berkata, keputusan PAS Pusat mewujudkan Jawatankuasa Pemandu sebagai badan pemantau pentadbiran kerajaan negeri akan melambatkan proses pembangunan negeri apabila setiap keputusan dibuat Menteri Besar, termasuk apa yang dirasakan terbaik perlu dirujuk terlebih dulu sebelum diluluskan.

“Rakyat dan pelabur tidak akan percaya dengan pentadbiran begini kerana proses mendapat kelulusan akan lewat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di sini.

Dalam perjumpaan dengan lebih 10,000 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil di negeri ini, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah bercadang mahu menutup sekolah aliran berkenaan dan menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan.

Beliau juga mengumumkan bantuan RM14.4 juta untuk 89 SJKC dan 58 SJKT seluruh Kedah.

Ketika berucap dalam perjumpaan dengan nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Kedah, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menarik balik pembekuan lesen nelayan pesisir pantai (Zon A) yang dibuat lima tahun lalu bagi membolehkan nelayan tanpa lesen mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Katanya, mereka dibenarkan mendaftar perlu nelayan aktif dan mendapat pengesahan persatuan nelayan negeri di seluruh negara.

“Kita berharap dengan mengeluarkan semula lesen ini akan membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Blogger Theme by Lasantha - Premium Blogger Templates | Affiliate Network Reviews